Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berasa kesal terhadap kejadian letupan yang berlaku di Ampang, Selangor sehingga mengorbankan satu mangsa, semalam.
“Saya zahirkan rasa kesal diatas kejadian letupan yang berlaku di Ampang semalam mengakibatkan satu nyawa terkorban. Takziah buat keluarga mangsa.
“PDRM sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku. Mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin memberi amaran keras bahawa pihak keselamatan Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang elemen keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara serta menggugat ketenteraman awam.
“Mana-mana pihak yang punya hasrat bertentangan dengan undang-undang negara, saya gesa untuk segera hentikan. Malaysia ini negara yang cintakan keamanan dan perpaduan, hal sebegini sama sekali tidak akan dibenarkan menjalar di Malaysia.
“Komitmen tegas saya untuk melakukan apa jua usaha terdaya bagi memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan selamat untuk didiami oleh semua,” katanya lagi.
BACA LAGI NGO Islam buat laporan polis terhadap Presiden Pas