Kabinet pada dasarnya telah bersetuju menganugerahkan Datuk Seri Najib Razak sebidang tanah bagi membina rumah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta 237 Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
“Secara dasarnya kabinet bersetuju memberikan kepada bekas perdana menteri atas alasan haknya di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
“Bagaimanapun saya mesti menegaskan keputusan ini tidak muktamad dan tertakluk kepada pertimbangan lanjut serta kelulusan akhir oleh kerajaan,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di Kuala Lumpur.
Tengku Zafrul bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak.
Berita itu mengejutkan rakyat Malaysia yang mengkritik Najib kerana berani membuat permintaan sedemikian selepas ahli Parlimen Pekan itu disabitkan dengan tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International.
Selepas terdedah perkara ini, dalam sidang media awal pagi semalam ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau memutuskan untuk menarik semula permintaannya.
Bantahan rakyat terhadap permohonan dan kelulusan ini bermula di Dewan Rakyat apabila Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan perkara ini.
Isu tersebut dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad (PH – Langkawi) yang meminta penjelasan apa gunanya duit kerajaan diberi kepada Najib yang beliau sifatkan sebagai ‘banduan’, ‘penyangak’ dan ‘pencuri’.
Tegas beliau, hadiah itu diberikan sebagai jasa Najib sebagai Perdana Menteri, namun Dr Mahathir mempersoalkan apakah jasa Ahli Parlimen Pekan itu kerana menurutnya, Najib adalah banduan.