Seorang pemilik kafe masih mampu meraih keuntungan walaupun menyediakan menu hidangan makanan dengan harga serendah RM2 sejak lima tahun lalu.
Menurut pemilik Zuha Cafe House di Kota Bharu, Kelantan, ratusan hidangan terjual setiap hari selepas menawarkan 10 menu makanan dengan harga RM2.
Antara hidangan tersebut termasuklah nasi ayam, laksa lemak, laksam, laksa pinang, mi kari, mi dan nasi air, bihun, kuetiau celup serta sagu gula melaka.
Norzuliana Zakaria, 41, berkata, biarpun harga hidangan sangat murah namun dia masih memperoleh keuntungan yang memuaskan hasil jualan ratusan mangkuk setiap hari.
“Alhamdulillah, sehingga kini ramai pelanggan masih terkejut apabila melihat harga menu.
“Untuk menu celup, saya gunakan daging lembu. Walaupun margin keuntungannya kecil, hasil jualan yang tinggi membolehkan saya mengekalkan harga itu,” katanya memetik Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurut ibu kepada enam orang anak itu, dia menerima sekitar 200 pelanggan setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga tiga kali ganda pada hujung minggu serta cuti umum.
Selain itu kafenya turut menawarkan masakan panas seperti mi segera, mi, bihun, kuetiau serta nasi goreng biasa dan kampung pada harga RM5 sepinggan.
Turut ditawarkan ialah set nasi budu untuk dua orang pada harga RM19.90 yang mengandungi dua nasi putih, ulam-ulaman, budu, ikan singgang, telur dadar, daging goreng dan teh o ais.
Baca juga: Luluh jantung tengok suami keluar dari bilik hotel dengan kakak kandung