Seorang wanita nekad untuk membina ‘dinding’ di dalam perhubungannya dengan mentua selepas lebih 14 tahun bergelar menantu.
Tidak hanya bersikap dingin, mentua wanita terbabit juga memberikan layanan berbeza kepada anaknya meskipun kanak-kanak itu adalah cucu kandung mereka sendiri.
Berikut perkongsian sang menantu yang tidak mahu lagi berdiam diri dan mula mengambil tindakan drastik demi menjaga kestabilan emosinya dan juga anak-anak.
“Assalamualaikum semua. Aku sudah berkahwin lebih 14 tahun. Tujuh tahun bergelar suri rumah selepas meletakkan jawatan sebagai penjawat awam. Suami dan anak-anak Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Setiap orang ada masalah di dalam hidup, aku juga sama. Suami kalau balik kampung belah dia, mesti sampai empat ke lima hari.
“Sebabnya, suami seronok bawa keluarganya berjalan. Masalahnya kalau balik lama, orang tua akan rasa ‘cemuih’. Maklumlah anak-anak kami ramai, macam rombongan. Rumah akan bersepah sedikit dengan mainan. Jumlah pinggan mangkuk digunakan juga jadi banyak. Memang anak aku yang besar akan basuh sendiri.
“Tetapi yang umur tujuh ke lapan tahun ini biasalah, jenuh bersuruh. Kadang-kadang kalau budak ini lupa basuh, mula mentua aku berhempas basuh. Dengarlah bunyi dia campak cawan plastik dalam sinki. Sedangkan aku sudah pesan sebelum ini kalau nak bising atau marah-marah, tinggal sahajalah. Nanti akulah yang buat sendiri.
“Mentua kuat merungut. Aku fahamlah sudah berusia, tetapi kurangkan sedikit. Aku buat sahaja kerja rumah setiap kali balik kampung mentua. Siap basuh tandas dan cuci habuk sebab aku paham umur mereka sudah 60-an. Masalahnya kalau datang rumah aku pun mentua nak merungut juga cakap bersepah bagai.
“Padahal rumah mentua pun aku yang bersihkan. Mula-mula aku hadap jugalah fikir mentua itu syurga suami. Tetapi kalau sudah sampai tahap anak aku yang besar pun perasan ibunya kena asyik marah dengan nenek. Situasi ini tak baiklah jika dijadikan teladan oleh anak-anak aku. Kemuncak cerita, masa hari raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Sampai cakap dekat suami tak nak balik awal sangat ke rumahnya. Untuk Aidilfitri akan datang, aku cadangkan balik kampung pada petang raya sahaja. Iyalah, habis semua benda tak kena. Kalau ada tak kena padaku atau suami, berdentum mentua marah. Kalau anak yang duduk dekat balik, sedikit pun tidak berbunyi.
“Malah suara juga susah nak keluar. Dekat anak kami juga begitu, macam nak keluar anak tekak marah. Sampai ke cucu yang lain, lemah gemalai ketika bercakap. Kami memang duduk tak sama negeri dengan mentua. Memanglah betul, perlu banyak bersabar. Tetapi keputusan ini dibuat untuk menjaga emosi aku dan anak-anak.
“Jadi, aku minta kurangkan balik kampung mentua. Suami aku setujulah. Kalau tidak sebelum ini, setiap bulan balik. Sekarang kalau suami pulang kampung pun, dia akan balik seorang diri selama dua ke tiga hari. Sekian luahan, terima kasih.” Kongsi wanita terbabit menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Wow! Mukaab bakal jadi tarikan di Riyadh, dibina mirip Kaabah dengan kos $800 bilion