Bagi mereka yang berkemampuan, kereta mahal ini ibarat satu koleksi, jarang digunakan namun diperagakan untuk menunjuk kemewahan diri.
Jadi bila ada wang lebih untuk membeli kereta mewah, pastinya banyak anak muda cepat terpengaruh dan membelinya tanpa memikirkan perbelanjaan di kemudian hari.
Bekas pemilik kereta mewah Mercedes G-Wagon, Moshed Mohamad dalam perkongsian di TikTok mengakui rasa rugi membelinya selepas rugi RM780k selepas jualan semula.
“Saya beli Mercedes G-Wagon ni dulu, harga RM1.45 juta tapi saya hanya berjaya jual balik dengan harga RM670k sahaja.
Lepas tiga tahun pakai, tak sangka harga jatuh teruk juga. Betul la macam orang cakap kereta bukan aset, tapi liabiliti yang mahal.
Dulu masa beli, rasa bangga. Masa pakai, rasa seronok. Tapi bila jual balik, baru terasa realiti. Masa ni saya mula fikir balik,’ ujarnya dalam hantaran di TikTok.
Jelasnya dia pada mulanya hanya melihat orang lain memandu kereta mewah, bila sudah berkemampuan, rasa teruja tu hanya sekejap sahaja.
Malah dia melihat trend anak muda yang habis duit pada kereta sedangkan ada yang sebenarnya tak nanpu.
“Pakai kereta besar, duduk rumah kecil. Pakai kereta mewah, tapi hujung bulan makan maggi. Semata-mata nak nampak ‘berjaya’.
“Saya tak salahkan sesiapa, sebab saya pun pernah ada mindset yang sama,” jelasnya.
Kini dia mengakui hidupnya lebih tenang, tak ada bebenan kewangan malah dia tak kisah memandu kenderaan biasa sahaja.
“Lepas jual G-Wagon ni, saya lebih tenang. Tak ada beban fikir depreciation, tak ada beban fikir servis mahal, minyak mahal, insurans mahal.
“Dengan engine V8 sebelum ni, RON97 sahaja, full tank dekat RM350 sekali isi. Insuran mau dekat RM30k setahun.
“Sekarang, saya tak kisah dah nak bawa kereta biasa,” tambahnya.
Baca juga: Jurutera menyesal ikut cakap keluarga beli Honda, rasa terbeban tanggung kos selenggara