Mufti Pulau Pinang tegaskan berdosa tayang makanan di media sosial sebelum berbuka

Oleh KIM SYAZIE

Sebelum tiba waktu berbuka, dapat dilihat media sosial dipenuhi gambar makanan yang diambil oleh warganet.

Walaupun ada yang melihat ia sekadar perkongsian sahaja, sebenarnya ada hukum mengenai perkara tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati umat Islam agar tidak memuat naik juadah ke media sosial.

Menurut beliau, tindakan berkongsi gambar makanan itu sendiri tidak membatalkan puasa namun perbuatan itu boleh menggalakan orang lain untuk tinggal puasa mereka.

Menurutnya itu boleh menyebabkan jatuh hukum berdosa kerana dilihat mendorong orang lain untuk tinggal puasa.

Ibadah ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan puasa merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan lapor Kosmo.

Justeru itu, beliau menasihati umat Islam untuk berhenti menggalakkan orang lain berbuat dosa dengan berkongsi gambar-gambar makanan ke dalam media sosial sebelum waktu berbuka.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak penguatkuasa agama Islam negeri-negeri untuk memantau restoran-restoran.

Tindakan tegas perlu dikenakan ke atas premis perniagaan yang menyediakan makanan atau minuman kepada orang Islam yang tidak berpuasa.

Baca juga: Mangsa eksiden sempat berselfie lepas king Myvi bertembung sesama sendiri jadi bahan ketawa netizen