Mufti Perlis gesa KKM ambil perincian setiap kes AEFI

Oleh ARIF ATAN

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti setiap kes membabitkan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19.

Beliau berkongsikan situasi ayahnya yang telah lebih seminggu di hospital selepas menerima suntikan dos ketiga pelalian Covid-19.

Dr Asri memberitahu ayahnya mengalami muntah dan tubuh menjadi sangat lemah.

“Menurut doktor, beliau terkena sekali lagi strok di bahagian yang sensitif di kepala. Punca masih tidak jelas.

“Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti. Hanya pakar yang dapat menjelaskan,” tulisnya di Instagram.

Menurutnya, kebetulan minggu sebelum itu ada anak seorang rakannya meninggal dunia setelah jatuh sakit mengejut selepas menerima suntikan dos ketiga.

“Beliau sebelum itu sihat. Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar.

“Keluarga beliau orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci. Mereka hanya kata “lepas vaksin nombor 3, tak pasai pasai dia sakit, lepas tu meninggal”. Mungkin juga ada punca lain,” kata Dr Asri.

Beliau turut menambah, ada juga individu yang rapat dengannya menceritakan bagaimana seorang bakal ahli jemaah umrah beliau yang mengambil dos penggalak sebagai syarat umrah, tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia.

“Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar.

“Apapun, pihak KKM wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.

“Ramai yang menyebut hal ini di media sosial. KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga Allah merahmati kita semua,” tambah Dr Asri lagi.

Semalam, KKM berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian AEFI membabitkan bapa Mufti Perlis itu.

“Pihak NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) telah menghubungi hospital yang berkenaan dan mereka dalam proses menyiasat dan menyediakan laporan AEFI,” kata Program Perkhidmatan Farmasi KKM pada satu kenyataan ringkas.