Muhammad Zaman Goh meninggal dunia, Malaysia ratapi pemergian pembaca berita

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara hari ini dikejutkan dengan pemergian pembaca berita Nightline TV3, Raymond Goh pada pukul 10.40 pagi tadi akibat diserang penyakit angin ahmar.

Raymond atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya selepas hampir dua minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Khabar duka tersebut disampaikan sendiri oleh isteri Allahyarham, Faridah Teh dalam satu kenyataan kepada pihak media.

Difahamkan, Raymond disahkan meninggal dunia pada usia 62 tahun di sebuah pusat perubatan swasta yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Memetik laporan Harian Metro, Faridah turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan padu yang diberikan terhadap keluarga mereka.

“Dengan rasa dukacita yang paling dalam dan berat hati kami mengumumkan pemergian Raymond Goh @ Muhammad Zaman Goh Abdullah yang menyentuh hati ribuan orang di negara ini.

“Raymond meninggal dunia dengan tenang pagi ini selepas melawan kesan serangan angin ahmar.

“Keluarga Raymond ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan dan penyokongnya di atas limpahan kasih sayang dan sokongan dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Merupakan sosok yang disenangi ramai, berita kehilangan tokoh dalam bidang penyiaran itu mengundang kesedihan dan diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tampil menzahirkan kedukaan mereka terutamanya di laman media sosial, pemergian Raymond Goh itu diiringi dengan limpahan ucapan takziah dan doa.

Buktinya, nama Raymond Goh dan program berita TV3, Nightline telah menjadi topik ‘trending’ di laman X (Twitter) dengan masing-masing mencatat ribuan ciapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah kepada keluarga penyampai berita itu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga penyampai berita Nightline TV3, Allahyarham Raymond Goh atau Mohd Zaman Goh yang meninggal dunia pagi tadi.

“Mendoakan semoga keluarga tabah menghadapi dugaan. Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya, jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya,” tulis Anwar.

Baca juga: Betul ke kalau sidai baju waktu malam mudah kena sihir? Ini penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri