Mungkin ribuan mangsa terperangkap dan kelaparan di Taman Sri Muda

Oleh NASUHA RAHMAN

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim tersentuh hati apabila makanan dan minuman yang dibawa ketika melakukan tinjaun di Taman Sri Muda tidak mencukupi.

Beliau bersama pasukannya menaiki bot memerhati keadaan di sana sangat daif dan menyedihkan tanpa bekalan air dan elektrik.

ADUN Pandan Indah ini baru keluar dari Taman Sri Muda kira-kira 7.30 malam semalam beranggapan hanya beberapa puluh orang sahaja yang terperangkap di rumah.

“Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila masuk meninjau di dalam taman berkenaan bahawa bukan setakat ratusan malah mungkin ribuan lagi yang “stranded” dan kelaparan.

“Tanpa bekalan air dan elektrik tentu amat sukar kehidupan mereka tambahan pula jikalau ada yang sakit, yang nak bersalin atau ada anak kecil,” kata beliau.

Katanya, buat masa sekarang sukar untuk memindahkan mangsa dengan kadar segera kerana ia memakan masa disebabkan air yang dalam serta jalan yang sempit dipenuhi dengan kereta-kereta yang tenggelam di bawah air.

“Saya terlanggar beberapa buah kereta ketika mudik dengan bot. Amat sukar lagi pada waktu malam kerana keadaan terlalu gelap,” katanya.

Namun katanya sedikit berita baik apabila melihat air sudah surut lebih setengah meter dan tiada hujan untuk hari-hari berikutnya dan semua yang masih di sana akan sentiasa selamat.

“Team saya beserta individu dan NGO lain akan meneruskan kerja-kerja menyelamat dan membekalkan makanan masak dan air sepanjang malam dan hari ini insyallah,” ujarnya lagi.

Ketika berkongsi video tinjauan, ramai mangsa memanggil-manggil beliau memerlukan bantuan dan beliau terpaksa meminta mangsa bersabar kerana perlu mengambil seorang ibu yang hendak bersalin.

ADUN Pandan Indah ini berjaya menyediakan 20 buah kayak dan 5 buah bot bagi menyelamatkan mangsa banjir

Pasukan ADUN AMANAH ini terdahulunya berjaya menggerakkan sebanyak 20 buah kayak dan 5 buah bot  bagi membantu mangsa di sekitar seksyen 19, 20 dan Sri Muda.

Beliau turut meminta netizen meninggalkan komen dengan memberi maklumat alamat serta nombor telefon mangsa banjir yang masih terperangkap dan terputus bekalan makanan.

“Jika ada kenalan yang memerlukan bantuan boleh segera maklumkan di komen di bawah. InsyaAllah kami akan bantu,” katanya di Facebook.

Walaupun banjir di kebanyakan kawasan telah surut, sebahagian Taman Sri Muda masih ditenggelami air.

Taman Sri Muda dikelilingi oleh sungai Klang yang telah melimpah akibat hujan berterusan.