Musang King kini hilang takhta, harga jatuh cecah RM20 sekilogram

Oleh KIM SYAZIE

Lambakan hasil durian musim ini memberi kesan kepada Musang King apabila harga raja buah kayangan itu dilapor jatuh ketara sehingga dijual antara RM20 hingga RM35 sekilogram.

Harga itu jauh berbeza dengan tahun lalu – iaitu pada harga RM40 hingga RM45.

Manakala IOI pula dilapor dijual pada harga RM15 hingga RM18 berbanding RM25 hingga RM35 sekilogram musim lalu, lapor Berita Harian.

Peniaga durian di Muar, Mohd Faris Idris, berkata, perniagaan durian musim ini agak mencabar memandangkan tidak boleh dijual tinggi manakala permintaan juga berkurangan.

Malah, katanya, jualan durian jenis Musang King dan IOI disifatkan amat perlahan dan pulangan lazimnya lebih kepada ‘pulang modal’.

“Untung tak banyak, kalau jual pun lebih kepada balik modal berbanding tahun lalu yang lebih banyak tempahan diterima.

“San saya dimaklumkan kilang sudah tidak membeli Musang King atau IOI daripada peniaga untuk membuat aiskrim kerana kebanyakan sudah tidak beroperasi,” katanya memetik portal berita itu.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Ali Rasidi Ibrahim, 39, memaklumkan terpaksa menurunkan harga jualan kerana sambutan kurang menggalakkan.

“Minggu lalu, saya jual durian kacukan RM15 sekilogram tapi sambutan agak perlahan. Saya turunkan harga kepada RM12 sekilogram, barulah orang singgah membeli.

“Sekarang ini harga durian bergantung pada keadaan pasaran dan ketika ini, kita tidak boleh letak harga terlalu tinggi yang menyebabkan pembelian agak perlahan,” katanya yang berniaga di Peserai, di sini.

Beliau turut menawarkan diskaun bagi pembelian melebihi 10 kilogram (kg) untuk pelbagai jenis durian, iaitu harga dikurangkan RM2 bagi setiap kg.

Baca juga: Harga durian akan jatuh lebih murah bulan depan, ini mimpi ngeri buat pengusaha durian tempatan