MySARA sah sehingga Disember 2025, MOF kongsi tip belanja bijak supaya tak cepat habis

Oleh MAISARAH AISYA

Orang ramai yang menerima Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diingatkan supaya merancang penggunaan bantuan itu dengan sebaik mungkin.

Memandangkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak menerima SARA secara one-off, penerima tidak perlu terburu-buru menggunakannya sekaligus dalam bulan yang sama.

Sebaliknya, bantuan ini boleh diurus dengan lebih bijak dan berperingkat mengikut keperluan harian keluarga.

Berdasarkan garis panduan yang dikongsikan Kementerian Kewangan (MOF), terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan:

Pilih masa sesuai untuk membeli-belah

Rancang masa dengan baik agar urusan lebih mudah dan tidak tergesa-gesa. Hari yang paling sesuai ialah antara Selasa hingga Khamis, kerana lazimnya pasar raya dan kedai lebih lengang.

Elak waktu puncak

Disarankan untuk tidak membeli-belah pada waktu pagi dan hari bekerja kerana ketika itu keadaan lebih sesak.

Elakkan musim cuti

Ketika cuti umum atau hujung minggu, kebanyakan lokasi beli-belah lebih padat. Sebaiknya, gunakan masa di luar musim cuti untuk membuat pembelian.

Jangan panik atau terburu-buru

Penggunaan SARA tidak perlu dilakukan serentak. Sebaiknya, belanja mengikut keperluan keluarga tanpa perlu rasa cemas atau ingin menghabiskan segera.

Kerajaan turut mengingatkan bahawa SARA sah digunakan sehingga 31 Disember 2025, sekali gus memberi ruang yang panjang untuk penerima memanfaatkannya secara berperingkat.

Dengan perancangan yang baik, bantuan ini dapat dimaksimumkan bagi memastikan keperluan asas keluarga dapat dipenuhi sepanjang tahun.

Baca juga: Individu sekolahkan netizen dakwa MySARA guna IC menyusahkan rakyat