Nyanyian Nabila Razali masih dikecam, suami cadang masuk kelas sebanyak mungkin

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi sensasi, Nabila Razali mendedahkan dirinya masih menerima kecaman berhubung kemahiran nyanyian meskipun sudah lama bergiat dalam industri seni.

Walau bagaimanapun, perasaan sedih yang selama ini ditanggung sendiri sudah boleh dikongsi dan diluahkan kepada suami iaitu usahawan, Nik Iruwan Datuk Nik Izani.

Kongsi pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali itu, suaminya sentiasa memberikan sokongan penuh untuknya bagi meneruskan kerjaya dalam bidang tarik suara.

Malah, Nik Iruwan yang mahu kerjaya seni Nabila terus berkembang itu turut mencadangkan agar isterinya menambah baik bakat dengan memasuki kelas nyanyian.

Nabila juga sempat meluahkan rasa syukur kerana suaminya itu begitu memahami kesibukan jadualnya sebagai seorang penyanyi dan juga pelakon, lapor Mstar.

“Dia (Nik Iruwan) selalu cakap. Jika awak mahu menjadi seorang penyanyi yang bagus, kena perbaiki diri sendiri. Pergi ke kelas nyanyian sebanyak yang mungkin.

“Sentiasa bekerja keras, itu yang dia selalu tekankan. Saya bersyukur sangat dapat seorang suami yang sangat memahami kerjaya, masa dan juga cara saya bekerja,” katanya memetik laporan Mstar.

Mengulas lanjut mengenai kerjayanya, pelantun lagu Pematah Hati itu tidak pernah merancang untuk berhenti bergiat dalam industri hiburan selepas bergelar isteri.

Walaupun sudah jarang muncul di kaca televisyen menerusi drama lakonannya, Nabila menganggap mungkin rezekinya buat masa ini lebih berpihak kepada nyanyian.

“Saya tidak mahu jadikan status (isteri) ini sebagai satu alasan untuk tidak bekerja atau kurangkan pekerjaan. Rezeki ini datang dengan pelbagai cara.

“Mungkin kurang berlakon tapi banyak menyanyi dan juga sebaliknya.” Katanya yang mula dikenali selepas memenangi tempat kelima dalam Akademi Fantasia musim ke-10.

Terdahulu, Nabila dan Nik Iruwan sah bergelar suami isteri pada 18 November lalu dalam satu majlis tertutup di sebuah tempat peranginan di Bukit Tinggi, Pahang.

Dalam majlis tersebut, pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta itu menerima mas kahwin sebanyak RM22.50 daripada Nik Iruwan namun wang hantaran dirahsiakan.

Kemudian pada Ahad lalu, pasangan dua sejoli itu mengadakan majlis persandingan dengan adat Jawa di Hotel Royale Chulan yang terletak di Damansara, Selangor.

Baca juga: Kawan baik Ira Kazar, Nur Nilam dedah sudah bercerai, beri bayangan kerana orang ketiga