Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk semakan kehakiman kes penyelewengan dana SRC ditolak.
Sabitan dan hukuman kekal.
Keputusan dibuat panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan, hari ini, yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.
Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Berikutan keputusan itu, Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.
Najib dilaporkan sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September tahun lalu lapor Harian metro.
Dalam permohonan kebenaran semakan sebelum ini, Najib mahukan mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu.
Sekali gus melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Najib juga memohon supaya rayuan utama akhirnya didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Prosiding pendengaran itu berlangsung selama enam hari bermula 19 Januari lalu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 70 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda.
Baca juga: Azam Baki bagi amaran, ahli politik kerajaan juga akan disiasat jika disyaki salah guna kuasa