Nak subsidi RON95? Pastikan lesen anda tak ‘expired’ lebih 3 tahun

Oleh MAISARAH AISYA

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menegaskan bahawa semua pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) perlu memastikan lesen masing-masing sentiasa aktif bagi melayakkan diri menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menurut kenyataan media JPJ, lesen memandu dikategorikan sebagai aktif sekiranya tempoh tamat sah lakunya tidak melebihi 36 bulan daripada tarikh pembaharuan terakhir.

Dalam tempoh tersebut, pemegang lesen masih:

  • Layak menerima subsidi BUDI95
  • Boleh memperbaharui lesen secara terus
  • Tidak perlu menjalani sebarang ujian tambahan

Namun begitu, JPJ turut memberi peringatan tegas bahawa sekiranya lesen memandu telah tamat tempoh melebihi 36 bulan, pemegang lesen tidak lagi layak menerima subsidi BUDI95.

Malah, mereka juga tidak boleh memperbaharui lesen secara biasa dan diwajibkan untuk:

  • Menduduki semula ujian kompetensi memandu
  • Melalui proses di Institut Memandu seperti pemohon baharu

Sehubungan itu, JPJ menyeru orang ramai agar tidak mengambil mudah status lesen masing-masing dan memastikan pembaharuan dilakukan dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

JPJ turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat.