Nasib 89 keluarga terbabit laluan ECRL akan dibela – MB

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Selangor akan memastikan nasib 89 keluarga yang dijangka terbabit dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terbela.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata selain 89 keluarga di Kampung Delek dan Kampung Sungai Sireh dekat sini, pihaknya juga mengenal pasti 86 lot kubur yang terkesan bagi laluan projek sama.

“Pembinaan laluan (ECRL) di lokasi itu mungkin bermula pada 2025 atau 2026, maka kita (Kerajaan Selangor) mempunyai masa untuk berbincang dengan pihak tertentu. Kalau laluan tidak dialih, kita akan bagi rumah sesuai supaya hidup penduduk tidak terganggu… kerajaan negeri sedaya upaya elakkan laluan ini tetapi tidak ada jalan lagi.

“… Saya pegang janji saya. Kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik. Sementara ada masa ini, kita juga kenal pasti kawasan perumahan mana yang dibangunkan, yang mana kita boleh ganti tanah, rumah atau beli rumah dengan kos tertentu,” katanya berucap pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Seri Perantau di sini hari ini.

Laluann ECRL di Selangor melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid bahawa Selangor dan Sabah masih belum mengembalikan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), Amirudin menegaskan negeri itu tidak membuat sebarang pinjaman dengan KWAN bagi pembelian vaksin. 

Baca Artikel Penuh