Nasib baik dapat pekerja jujur, majikan ini terlebih ‘transfer’ RM7,200 untuk gaji akhir tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pensyarah yang juga usahawan berjaya mencuri tumpuan ramai selepas berkongsi pengalamannya ketika terlebih membayar gaji akhir tahun buat pekerjanya, baru-baru ini.

Bukan di dalam jumlah yang sedikit, pekerja terbabit telah menerima wang mencecah RM10,000 dalam akaun bank miliknya walaupun gaji sebenar hanyalah berjumlah RM1,942.95.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, majikan itu mengakui kesilapan tersebut hanya disedarinya selepas dihubungi oleh pekerja memaklumkan bahawa gajinya terlebih bayar.

Usahawan terbabit turut meluahkan kesyukuran kerana dikurniakan pekerja yang bersikap jujur dan berdoa agar perniagaannya maju supaya dapat memberikan komisen lebih tinggi tahun hadapan.

“Apabila dapat pekerja yang jujur. Salah masuk gaji terus telefon beritahu tersalah terima amaun. Alhamdulillah. Banyak betul bezanya tersalah bayar.

“Didoakan semoga semua ahli pasukan saya suatu hari nanti dapat dipertingkatkan kemahiran, gaji dan komisen yang semakin tinggi untuk tahun 2025 kelak. Aminnn,” tulisnya dalam perkongsian itu.

Dalam hantaran sama, majikan itu turut berkongsikan tangkap layar memaparkan perbualan dengan pekerjanya yang begitu jujur menunjukkan amaun keseluruhan diterimanya.

Pensyarah bergelar doktor terbabit kemudian melakukan semakan dan mendapati hanya seorang pekerja terlibat dalam kesilapannya terlebih memindahkan wang sebanyak RM7,200.

Tangkap layar perbualan majikan terbabit bersama pekerjanya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memuji tindakan pekerja berkenaan yang tidak mengambil kesempatan sebaliknya bersikap jujur dengan memulangkan kembali lebihan gaji.

Ramai juga pengguna berkongsikan pandangan bahawa majikan berkenaan boleh menaikkan gaji pekerja terbabit kerana sikap jujurnya atau memberikan sedikit imbuhan akhir tahun sebagai satu bentuk penghargaan.

“Alhamdulillah, dapat pekerja jujur juga adalah satu rezeki. Berikanlah dia sekupang dua (duit), doktor! Untuk melalui tahun baharu dengan lebih indah,” kata seorang pengguna.

“Sebagai imbuhan di atas kejujuran, genapkan sahaja gaji pekerja kepada RM2,000. Macam doktor saya, memang tak berkira dengan kakitangannya. Dia memang akan bagi gaji genap.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Ibu mengamuk campak barang sebab anak tak bagi ‘transfer’ duit dekat scammer