Kenyataan Abdul Karim Hamzah yang mempertikai penglibatan belia supaya tidak menyertai politik pada usia muda, jelas menunjukan bahawa Menteri Belia dan Sukan negeri Sarawak itu bukanlah pemimpin yang memperjuangkan nasib dan kebajikan anak muda.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Saifunnizam Sam dan timbalannya, Chiew Choon Man mempersoal, bagaimana anak-anak muda hendak mengharapkan suara mereka didengari apabila pemimpin sendiri memandang sinis mereka yang ingin berkhidmat untuk rakyat.
Bahkan mereka menempelak kenyataan Karim Hamzah yang memperkotak-katik kewibawaan anak muda dengan menasihatkan mereka untuk tidak membuang masa dalam politik dan patut fokus dalam menguruskan kehidupan dirinya.
“Oleh itu, tiada pilihan lain untuk kita selain dari memastikan mereka yang angkuh ini ini harus dikalahkan dalam Pilihan raya akan datang.
“Adalah menjadi kewajipan anak-anak muda untuk menghukum pemimpin yang angkuh seperti ini. Negeri kita memerlukan pemimpin yang ada sifat rendah diri dan menghormati semua pihak termasuk anak muda atau lawannya.
“Mungkin kerana sikap angkuh beliau inilah yang menyebabkan ramai berminat untuk melawan beliau di DUN Asajaya.
“Pemimpin seperti ini tempatnya bukan untuk mewakili rakyat tetapi harus diajar untuk menghormati rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan siang tadi.
Terdahulu, Abdul Karim Hamzah berkata beliau tidak percaya untuk meletakkan calon terlalu muda pada pilihan raya, dan pesanannya kepada calon muda:”Jangan bazirkan hidup anda jadi ahli politik.”
“Jika anda fikir mahu jadi calon, fikir sekali lagi,” katanya ketika ditanya pandangannya berkenaan calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.
Merujuk kepada PRN Melaka yang sedang berlangsung – Farzana Hayani Nasir, 21, merupakan calon termuda yang bertanding atas tiket PKR.
Farzana, merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bertanding di DUN Sungai Rambai.