Pelakon kacak, Nazim Othman mendakwa pelakon Malaysia sebenarnya menerima bayaran paling rendah jika dibandingkan dengan negara serantau lain terutama pelakon dalam drama-drama Korea.
Nazim mendedahkan perkara itu, mendakwa kebanyakan pelakon dan kru produksi ditawarkan kontrak berat sebelah yang hanya akan menguntungkan pihak produser.
Dia juga mendedahkan sisi gelap dalam industri hiburan tanah air di mana ada segelintir produksi yang sentiasa mahukan diskaun dalam isu pembayaran artis.
“Sesetengah pihak produksi akan melabel para pelakon yang mahu mempertahankan ‘rate’ mereka sebagai pelakon-pelakon bermasalah atau demanding.

“Sebagai pencerahan, bayaran untuk para pelakon dan kru di Malaysia jauh lebih rendah dari negara serantau. Tidak semewah sangkaan masyarakat tempatan.
“Kebanyakan masa, para pelakon wajib menyediakan pakaian sendiri mengikut kesesuaian karakter lakonan. Barangan prop juga mengharapkan milik pelakon sendiri adalah normal.
“Tiada bayaran tambahan untuk ini,” luahnya di Instagram kelmarin.
Jelas aktor berusia 40 tahun itu lagi, kebanyakan produser mahukan pelakon dan kru produksi untuk memberikan jiwa dan komitmen 100 peratus, tetapi tidak pada pihak produksi itu sendiri.
Malah katanya, jika pelakon terlewat datang ke set, ia akan dijadikan bahan sensasi untuk dijual kepada media-media.
Tetapi sekiranya mereka lewat melunaskan bayaran, semua orang kena redha dan tabah, kata Nazim.
“Bayaran setelah diskaun untuk setiap pelakon dan kru untuk setiap projek adalah secara ‘one-off,.
“Sekiranya drama dijual ke platform lain setelah tayangan di televisyen, tiada royalti untuk pelakon dan kru,” katanya lagi.
Perkongsian Nazim itu menjawab banyak persoalan. Maka tidak hairanlah pelakon-pelakon veteran kerap meluahkan isu ketidakpadanan harga yang ditawarkan pihak produksi kepada mereka.