Birokrasi yang berlebihan oleh sesetengan agensi telah memberi kesan buruk kepada sebahagian besar nelayan di kawasan Daerah Barat Daya, Pulau Pinang yang rata-ratanya hanya mengharapkan hasil laut sebagai sumber pendapatan mereka.
Malah usaha mereka bagi mendapatkan Lesen Sampan Khas dari pihak berkuasa telah berlarutan sejak tahun 2016 lagi.
Menurut Md Zin Che Din, 73 tahun, beliau telah mencuba memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Laut bagi mendapatkan lesen tersebut bersama-sama dengan 30 nelayan yang lain.

Namun begitu sehingga 2022 tiada sebarang usaha dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi mengeluarkan lesen sampan tersebut sedangkan pihak nelayan telah pun mengemukakan permohonan secara bertulis mengikut prosedur yang dikehendaki.
Seramai 150 tekong dan awak-awak tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan dan mencari sumber pendapatan baru-baru ini. apabila adanya operasi dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Manakala penguatkuasa akan menahan mana- mana sampan yang tidak berlesen menyebabkan nelayan tidak dapat kelaut dan hilang punca pendapatan, sedangkan permohonan telah pun dibuat kepada Jabatan Perikanan Malaysia.
” Alasan lesen tidak dapat diluluskan kerana adanya bantahan dari persatuan nelayan adalah tidak wajar sama sekali sedangkan permohonan telah dibuat beberapa kali oleh para nelayan sejak beberapa tahun yang lalu,” ujar beliau ketika dihubungi.
Seorang lagi nelayan Halim Abdul Rahman, 48 tahun, pula berkata, sekiranya sampan mereka ditahan kompaun yang dikenakan agak tinggi sedangkan sumber pendapatan mereka tidak menentu dan mengharapkan turun ke laut sahaja.

Sementara itu, Abu Bakar Abdullah, 27 tahun, turut berkata nelayan juga tidak mendapat hasil jika air laut kuat dan angin kencang menyebabkan mereka tidak mendapat sebarang hasil, sedangkan kos untuk minyak dan juga keperluan lain sebelum turun ke laut turut harus disediakan.
Abdullah Mohamad pula berkata, lesen dengan harga cuma RM9 setahun mampu dibayar okeh setiap nelayan, tetapi kesukaran untuk mendapatkan lesen semurah itu menjadi tanda tanya sejak sekian lama.
Adalah difahamkan masalah besar yang dihadapi oleh nelayan-nelayan tersebut adalah kerana mendapat bantahan persatuan nelayan yang mana majoriti dari mereka merupakan pengundi tempatan.