Netizen bongkar cerita di sebalik video tular pak cik angkut barang guna Axia macam lori

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang membawa muatan berlebihan sehingga ke atas bumbung kenderaan telah mengundang perbincangan hangat di platform media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, kenderaan kecil itu diperlakukan seperti lori pemindahan barang dan dikhuatiri membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain sekiranya muatan tersebut terjatuh selain menganggu pandangan.

Susulan penularan rakaman tersebut di platform TikTok, seorang individu mendakwa mengenali pemandu Axia itu menafikan bahawa kereta berkenaan digunakan untuk urusan pemindahan rumah.

Namun sebaliknya, pemandu itu sebenarnya merupakan pemilik bengkel yang sering menggunakan kereta untuk mengangkut barangan dalam kuantiti berlebihan malah pernah tular sebelum ini dengan masalah sama.

Individu terbabit juga mendakwa bahawa pemilik bengkel itu pernah terlibat di dalam satu kemalangan sebelum ini sewaktu memandu kereta jenis Viva sambil membawa muatan yang banyak.

@ameydeen_

Dah kenapa pula ni? Hahaha tuan tanah HALAU dari rumah ke tu?🤔🙄 Kredit: owner vid #perangaipelik #banyakbarang #letakataskereta #kenahalau #pindahrumah #fypviralシ

♬ original sound – ammarhasawi – ammarhasawi

“Ini bukan sebab nak berpindah. Tak tahulah apa masalah pak cik ini. Dia ada bengkel kereta, pakai juga kenderaan yang pelanggan hantar untuk dibaiki di premis miliknya. Sebelum ini sudah tular sebanyak tiga kali.

“Pernah pakai kereta Viva, BMW dan Waja. Buat macam ini juga sampai berlaku kemalangan. Bengkel pemandu itu dekat dengan rumah saya. Tak tahulah apa yang tidak kena. Ada yang kata dia ada masalah mental.

“Wallahualam. Cuma risau dekat pengguna jalan raya lain. Ingat selepas insiden waktu pakai Viva dahulu, sudah tak buat lagi perkara sama. Ini tular lagi. Kasihan dekat pak cik itu,” kongsi individu terbabit di ruangan komen di TikTok.

Komen yang ditinggalkan oleh individu mendakwa mengenali pemandu Axia terbabit.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak polis dilaporkan telah menahan pemandu Perodua Axia yang membawa muatan di bumbung kenderaan secara berbahaya di Jalan Dengkil–Banting itu.

Kenderaan tersebut berjaya dikesan polis Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di dalam tempoh sejam selepas penularan video kejadian di platform media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 59 tahun itu memiliki lesen memandu yang sah dan kenderaannya memiliki dokumen perjalanan lengkap.

Norhizam juga memaklumkan bahawa kenderaan itu kini ditahan oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Pihak polis juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Baca juga: Samun kedai serbaneka dengan pemutar skru, penganggur berjaya ditahan