Kehidupan peribadi pelakon terkenal, Nora Danish kembali menjadi perhatian netizen terutama peminatnya apabila selebriti berkenaan didakwa sudah menemukan pengganti selepas setahun bercerai.
Dakwaan tersebut timbul apabila pemilik nama sebenar Nora Mohd. Danish Hanif itu memuat naik gambar yang memperlihatkan separuh wajah seorang lelaki berkopiah dan berkaca mata di akaun Instagram miliknya.
Netizen kemudian ‘menjalankan tugas’ mereka mengorek identiti lelaki berkenaan sebelum menemui akaun media sosial milik seorang individu yang dilihat sepadan dengan petunjuk dalam gambar dikongsikan oleh Nora.
Individu itu mengenakan kaca mata dengan reka bentuk serupa dengan lelaki dalam gambar tersebut selain baru sahaja mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci berdasarkan berberapa perkongsian di akaun berkenaan.
Lebih menguatkan andaian orang ramai, Nora juga turut didapati meninggalkan komen di akaun TikTok berkenaan dalam perkongsian gambar ketika lelaki itu berangkat mengerjakan umrah pada akhir bulan lalu.
Perkara ini mendorong netizen untuk ‘menyerbu’ akaun tersebut dengan meninggalkan pelbagai komen mencuit hati serta tidak lupa mengirimkan doa yang terbaik untuk hubungannya bersama pelakon berusia 43 tahun itu.
Orang ramai dilihat ‘meluluskan’ calon suami Nora yang dikatakan pernah berkahwin namun kini berstatus duda, mempunyai dua cahaya mata serta bekerjaya sebagai seorang perunding kewangan berjaya itu.
“Kami ini tengah buat kaji selidik tahu tak? Kita mulakan dengan bab pertama iaitu selidik latar belakang,” kata salah seorang pengguna TikTok dalam ruangan komen di hantaran sama yang dikomen oleh Nora.
“Berapa umur dia ya? Kalau betul jodoh dia dengan Nora Danish, semoga dipermudahkan dan kekal bahagia hingga ke Jannah.” komen pengguna lain sebelum lelaki itu turut tampil meninggalkan tanda suka.

Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Puteri itu pernah membuat kenyataan bahawa pintu hatinya belum tertutup untuk kembali berumah tangga selepas dua kali melalui kegagalan perkahwinan.
Terdahulu, Nora dan bekas suami iaitu Nedim Mohamad Nazri bercerai secara baik di atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada Jun 2024.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun berumah tangga, mereka berdua dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia 7 tahun.
Nora juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram atau lebih dikenali sebagai Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal kini berusia 16 tahun sebelum berpisah pada 2008.
Baca juga: “A new chapter” – Nora Danish kongsi gambar lelaki berkaca mata, peminat doa yang terbaik