Satu rakaman yang memaparkan detik mengharukan ketika pelakon, Yusof Bahrin menghantar isteri tersayang iaitu penyanyi, Zizi Kirana ke lapangan terbang telah berjaya mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.
Dalam rakaman yang tular di platform TikTok itu, Yusuf terlihat memeluk isterinya dengan penuh erat sebelum mereka ‘berpisah’ buat sementara waktu memandangkan Zizi menyertai misi kemanusiaan di bumi Gaza.
Pemilik nama sebenar Muhammad Yusuf Bahrin itu juga sempat mencium hangat dahi sang isteri sebelum pelantun lagu popular Nakketaknak berkenaan berangkat untuk menaiki pesawat ke destinasi yang ditujui.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok berkongsikan rasa terharu dan sebak mereka apabila melihat detik yang mengharukan melibatkan pasangan suami isteri berkenaan.
Hal ini kerana rumah tangga pasangan selebriti itu dilaporkan goyah sebelum ini memandangkan Yusof dan Zizi tidak mengikuti antara sama lain di akaun Instagram masing-masing namun dakwaan tersebut disangkal mereka.
“Saya minta maaf banyak-banyak Zizi Kirana dan suami, Yusuf Bahrin. Sebab saya tengok netizen kata kamu sudah berpisah. Malah ada yang kata Yusof skandal dengan Alya Iman. Saya pun percaya. Maafkan saya sekali lagi atas prasangka itu. Saya doakan semoga hubungan kalian sampai syurga dan dijauhkan dari orang yang berniat tak baik,” kata seorang pengguna.
“Kalau benar ada rajuk di hati, semoga perpisahan sementara ini akan lebih mengeratkan lagi hubungan mereka. Semoga rindu itu akan menyatukan kembali. Ya Allah, peliharalah hubungan mereka dan kurniakan mereka zuriat yg soleh serta solehah.” Komen pengguna lain.
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk turut menitipkan doa supaya perjalanan Zizi bersama peserta misi kemanusiaan lain dipermudahkan di Gaza untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa rejim Zionis itu.
Sementara itu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil turut memuat naik gambar tangannya digenggam erat oleh Yusof di akaun Instagram sekali gus meleraikan spekulasi pergolakan rumah tangga mereka.
“Semoga genggaman ini sampai ke syurga Allah,” tulisnya dengan ringkas namun romantis di ruangan kapsyen itu ditujukan khas buat suami selepas berangkat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Terdahulu, perkahwinan selebriti itu dikatakan dilanda konflik selepas Zizi jarang memuat naik gambar bersama Yusof yang mana kali terakhir penyanyi terbabit berbuat sedemikian adalah pada 8 Jun lalu melalui ucapan bersempena hari lahir suaminya.
Tindakan Zizi memuat naik beberapa siri perkongsian di platform Threads dengan kata-kata luahan hati yang sepertinya mempunyai makna cukup tersirat kebelakangan ini turut menimbulkan tanda tanya orang ramai.
Pasangan itu sebelum ini mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 lalu selepas berkenalan ketika sama-sama terbabit dalam rakaman program realiti hiburan terbitan Astro iaitu All Together Now Malaysia.
Baca juga: ‘Kalau aku kerah pun, aku bayar gaji’’ – Shima Anuar nafi kerah ‘maid’ bantu bisnes kek