Isteri kepada pelawak, Shuib iaitu Watie Hanafiah kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar terbaharu di akaun media sosial miliknya sewaktu menghadiri satu majlis perkahwinan.
Mana tidaknya, gambar yang dikongsi menerusi platform Instagram itu seakan-akan menjawab spekulasi orang ramai tentang kehamilan wanita berusia 37 tahun terbabit selepas hampir dua tahun berumah tangga.
Dalam gambar tersebut, Watie yang merupakan seorang usahawan itu kelihatan memakai busana berwarna coklat muda di mana bahagian perutnya tampak seperti sudah terbentuk ‘baby bump’ menyerupai ibu hamil.
Gambar itu difahamkan diambil ketika Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah menghadiri majlis persandingan pelakon iaitu Eyka Farhana dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.
Majlis resepsi tersebut diadakan di Langkawi pada Isnin lalu dan tinjauan mendapati para peminat membanjiri ruangan komen dengan persoalan sekiranya wanita itu benar-benar hamil atau sebaliknya.
Ramai juga pengguna turut tumpang gembira dengan mengucapkan tahniah dan berharap wanita itu menjaga kesihatannya jika benar dirinya sudah mengandungkan anak sulungnya bersama Shuib.
“Nampak dengan jelas ‘baby bump’ itu. Tahniah kepada Mummy dan Daddy (panggilan Watie dan Shuib). Tidak lupa kepada anak-anak sebab dapat adik baharu. Jaga kesihatan Mummy,” kata seorang pengguna.
“Kalau betul hamil, tahniah Watie dan Shuib. Rezeki ulang tahun barangkali,” ujar pengguna lain berhubung tarikh pernikahan pasangan suami isteri itu akan tiba tidak lama lagi iaitu pada 23 Jun ini.
Shuib yang juga bergelar ahli perniagaan turut memberi komen dalam hantaran tersebut dengan nada berseloroh mengatakan bahawa perut isterinya menjadi sebegitu kerana terlebih makan.
Pasangan tersebut bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan bahawa mereka berdua akan menimang cahaya mata baharu tidak lama lagi.
Sekadar info, Watie dan pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad itu melangsungkan perkahwinan pada 23 Jun 2023 di dalam satu majlis yang diadakan penuh meriah di Putra Heights.
Shuib sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama penyanyi iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011 sebelum wanita terbabit meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 lalu akibat jangkitan COVID-19.
Hasil perkongsian hidup bersama, Shuib dan Allahyarham dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan yang kini berusia empat tahun.
Baca juga: Rezeki kerja hantar parcel, suri rumah raih RM7,000 sebulan