Niat bantu suami tambah pendapatan, suri rumah kini raih ribuan ringgit hasil jual kuih

Oleh KIM SYAZIE

Demi membantu suami menambah pendapatan keluarga, serang suri rumah kini mampu meraih ribuan ringgit hasil menjual pelbagai jenis kuih dalam balang.

Ibu kepada lima anak itu menjual karipap mini, popia simpul dan popia gulung yang kini mendapat tempahan dari seluruh Malaysia.

Bertapak di Kuala Krai, Noor Azeela Ibrahim, 40, tidak menyangka air tangannya mendapat sambutan penduduk di kawasan sekitar dan dari serata negeri.

Memetik Harian Metro, jualan tiga produk di bawah jenama McGie itu pernah meledak di media sosial dan kini mereka tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

Noor Azeela hanya dibantu anak saudaranya, Nur Zafikha Mukhtar. Mereka tidak mempunyai pekerja lain menyebabkan kekangan menghasilkan tempahan yang banyak dalam satu-satu masa.

Dilaporkan, sejak menceburi bidang perniagaan tujuh tahun lalu, Noor Azeela sudah berjaya menjual lebih 100,000 bekas dan bungkusan makanan tersebut.

Suri rumah itu ditemui di Laman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Baca juga: Santan basi, jangan terus buang! Buat minyak kelapa, rambut anak boleh jadi lebat