Niat di hati nak tolong orang meniaga, wanita terkejut tengok isi popia – “Letak inti pakai niat”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang wanita sedang ‘membongkar’ isi bahagian dalam kuih popia yang dibelinya di sekitar kawasan pantai terletak di Selangor.

Namun alangkah kecewanya wanita itu sebaik mendapati popia dibelinya itu tidak memiliki sebarang inti melainkan satu helaian tauge dan lobak merah dipotong dalam saiz yang cukup kecil.

Lebih mengejutkan, pelanggan itu juga turut menemui salah satu daripada enam biji kuih tersebut dijual tanpa inti membuatkannya kecewa berikutan telah membuat bayaran namun mendapat kulit popia sahaja.

Walaupun niatnya hanyalah mahu membantu peniaga, namun wanita berkenaan tetap merasa kecewa ekoran kuih popia yang dibelinya daripada seorang kanak-kanak itu langsung tidak berbaloi dengan harga.

Luahan kekecewaan pelanggan itu dikongsikan menerusi satu hantaran video di aplikasi TikTok dan setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah ditonton oleh 843,300 pengguna platform berkenaan.

@kitakakishopping

the real popia isi angin. nak marah pun tak boleh. tp sumpah tak baloi RM6 untuk 3 biji. ada yg kulit sahaja ya! betul2 inti gulung angin ni.

♬ original sound – Yaya Lee – Yaya Lee

“Niat di hati nak menolong orang berniaga. Popia ini dijual dengan harga RM6 untuk tiga biji. Aku beli enam biji. Isi di dalam hanya ada sehelai lobak merah dan sehelai tauge. Ingatkan satu biji kuih sahaja macam itu.

“Rupanya semua sama sahaja. Malah ada satu biji itu, kulit popia sahaja. Aku berikan ulasan jujur ya. Bukan sengaja mahu menjatuhkan peniaga. Kalau kamu semua dapat macam ini, apa rasanya. Lokasi di pantai di Selangor.

“Ini betul-betul popia isi angin. Nak marah pun tak boleh. Sumpah tak berbaloi bayar RM6 untuk tiga biji, tetapi ada yang dapat kulit sahaja ya! Betul-betul popia inti gulung angin ini,” katanya dalam perkongsian itu.

Menurut wanita itu, kuih popia berkenaan dibeli daripada seorang kanak-kanak dipercayai anak kepada peniaga yang mengelilingi sekitar kawasan pantai tersebut dengan menaiki basikal.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna kesal dengan tindakan peniaga kuih popia terbabit selain berkongsi pengalaman peribadi mereka sendiri berhubung kejadian serupa.

“Peniaga sasarkan pelanggan yang beli pada hari kejadian sahaja. Esok harinya mungkin orang itu sudah tak datang ke pantai itu lagi. Jadi lain-lain orang yang akan beli. Dia bijak berniaga sebenarnya,” kata seorang pengguna.

“Dekat pantai itu saya sudah boikot tak nak beli apa-apa. Pernah saya beli donut susu, satu biji harganya RM5 ya. Tetapi langsung tak boleh makan. Keras kejung.” Kongsi pengguna lain yang pernah mengunjungi pantai sama.

Baca juga: Rider makanan berjaya simpan RM215,000 dalam masa 4 bulan tapi tak ramai boleh ikut cara ini