Penyanyi, Ning Baizura menerima kecaman hebat susulan satu rakaman video yang memaparkan sesi siaran langsung dilakukannya tular di media sosial.
Mana tidaknya, wanita berusia 48 tahun itu seakan tidak cakna dengan isu semasa khususnya penindasan dialami masyarakat Palestin ketika bertanya ‘siapa Rafah?’.
Segalanya bermula apabila pemilik nama sebenar Ning Baizura Sheikh Hamzah itu membaca komen ditinggalkan oleh peminatnya ketika melakukan siaran langsung.
Difahamkan, salah seorang peminat Ning meninggalkan komen slogan ‘All Eyes On Rafah’ (semua perhatian buat Rafah) sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Reaksi Ning yang tidak memahami slogan tersebut sangatlah mengejutkan sekaligus memberikan bayangan bahawa penyanyi berkenaan tidak cakna dengan isu Palestin.
“All Eyes on Rafah…who’s that? (Siapa itu),” soal pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu di dalam rakaman siaran langsung yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Rakaman yang berdurasi 22 saat itu kemudian dikongsikan semula di platform media sosial X lalu menjadi punca tercetusnya kemarahan dan kritikan dari rakyat Malaysia.
“Ada ya manusia yang macam ini sekali? Kalau cakap artis Malaysia memang ramai tiada kesedaran atau bangang kang, mulalah seorang demi seorang akan sentap.
“Kononnya terpaling artis pun susah juga (nak bersuara). Inilah masa tepat untuk kita hilangkan pengaruh dan tidak menyokong individu seperti ini,” kata pengguna X itu.
Perkongsian itu telah mengundang kritikan dan kecaman dari masyarakat yang rata-ratanya menyifatkan Ning tidak sensitif dengan peperangan kini melanda Palestin.
“Tak akanlah tidak ambil tahu tahu langsung kejadian berlaku di Rafah? Sedihnya, saya pernah sukakan Ning. Bye,” kesal seorang pengguna yang meminati penyanyi itu.
“Sedihnya tengok orang jenis macam ini. Tak akan sedikit pun tak ambil tahu tentang apa yang terjadi di Palestin?.” Soal pengguna lain yang turut berkongsi rasa kecewa.
Namun wujud juga segelintir pengguna media sosial berpendapat bahawa penyanyi itu mungkin tidak peka dengan isu semasa berikutan terlalu sibuk dengan pekerjaan.
Sekadar info, kawasan pantai bandar Rafah terletak di selatan Semenanjung Gaza adalah tempat pelindungan rakyat Palestin yang melarikan diri dari pengeboman di zon timur selepas rejim Zionis mengarahkan mereka berpindah.
Rafah turut digelar sebagai bandar kanak-kanak berikutan lebih daripada separuh rakyat Palestin yang berlindung di kawasan tersebut merupakan kanak-kanak Gaza.
Tentera Israel bagaimanapun mara ke bandar paling selatan Semenanjung Gaza itu lebih seminggu yang lalu dan turut menguasai bahagian Palestin di pintu masuk sempadan Rafah ke Mesir.
Susulan itu, hampir 450,000 orang terpaksa meninggalkan Rafah kerana penduduk yang kehilangan tempat tinggal itu harus melarikan diri daripada pertempuran sengit di bandar berkenaan.
Tidak tahu ke mana arah lagi yang harus mereka tuju untuk mencari perlindungan, segelintir masyarakat Palestin kini hanya mampu mengharapkan kematian menjemput.
Baca juga: Sempat bermaaf-maafan, Datuk Red sah bercerai dengan isteri pertama