Mahu tampil berseri tanpa solekan, Noor Nabila rela berhabis RM140,000 setahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Penampilan usahawan yang juga kakak kepada selebriti, Noor Neelofa iaitu Noor Nabila sering menjadi perhatian dan perbincangan di media sosial kerana tetap kelihatan berseri walaupun tidak menggunakan solekan.

Rupa-rupanya, ‘seri’ tersebut bukan timbul secara semula jadi sebaliknya Nabila yang juga bekas isteri pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad itu perlu menjalani rawatan dengan kos menelan belanja sebanyak RM140,000 setahun.

Wanita berusia 41 tahun itu tidak merasa terbeban malah menganggap kos rawatan kecantikan bernilai ratusan ribu ringgit tersebut sebagai pelaburan untuk meningkatkan keyakinan diri dengan tampil berseri tanpa solekan.

Antara rawatan yang dijalani Nabila adalah Ulterapi untuk meransang pengeluaran kolagen, prosedur Emface bagi mengembalikan keremajaan wajah serta Exion bertujuan mengurangkan lemak serta menegangkan semula kulit.

‘Rahsia’ tersebut dibongkarkan oleh Nabila menerusi satu perkongsian dimuat naik di Instagram Story baru-baru ini untuk mengulas artikel mengenai kecantikan wajah tanpa menggunakan solekan.

“Tanpa solekan, wajah boleh kelihatan berseri. Ini semua dapat dicapai dengan pelaburan menjalani rawatan Ulterapi, Emface, Exion, Titanium, Profhilo, Pico, Skin Booster dan Laser.

“Pelaburan tahunan adalah sebanyak RM140,000, mungkin lebih. Pulangannya adalah keyakinan yang anda tidak boleh beli dalam sebotol (produk penjagaan wajah),” kata Nabila dalam perkongsian itu.

Perkongsian Nabila kemudian hangat diperkatakan di laman media sosial Threads selepas pengguna platform itu memuat naik tangkap layar memaparkan hantaran Instagram Story berhubung ‘pelaburan tersebut’.

Hal ini kerana pengguna Threads itu mahu membetulkan persepsi kaum Adam bahawa kecantikan wajah boleh diraih tanpa mengeluarkan wang atau menggunakan sebarang solekan.

“Sesetengah lelaki cakap mereka suka perempuan yang menarik secara semula jadi tanpa menggunakan solekan tebal. Tetapi harga nak dapat semua itu adalah RM140,000 setahun,” ujar pemilik akaun dikenali sebagai Shazwanne itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terutamanya kaum Hawa bersetuju bahawa kos untuk menjalani rawatan kulit sememangnya menelan belanja yang banyak.

Sementara itu, beberapa individu yang mengakui pernah bertentang mata dengan Nabila tidak menafikan bahawa wajah wanita berkenaan kelihatan licin tanpa parut meskipun tidak menggunakan solekan.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Threads.

Baca juga: 5 produk Malaysia ini digilai netizen Indonesia