Nur Nilam rela tahan sakit buang silikon di hidung, rancang hapus tatu untuk bertaubat

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz mengejutkan ramai pihak baru-baru ini selepas berkongsi gambar ketulan dipercayai silikon yang telah ditumbuhi dengan daging di sekelilingnya.

Rupa-rupanya, silikon tersebut baharu sahaja dikeluarkan daripada hidung Nur Nilam yang mana wanita berkenaan mengakui menjalani pembedahan untuk membuang benda asing tersebut dari wajahnya.

Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, Nur Nilam yang juga bergelar usahawan itu memaklumkan bahawa dirinya sanggup menanggung kesakitan akibat menjalani pembedahan demi mencari reda Ilahi.

Nur Nilam menjelaskan bahawa dirinya tidak mahu terus diselubungi rasa bersalah atas perbuatannya itu walaupun segelintir pihak mengatakan silikon berkenaan tidak perlu dibuang kerana sudah bertekad untuk bertaubat.

“Ada orang cakap, tak perlu buang kalau sudah bertaubat. Kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun, saya bersetuju dengan perkara itu. Tetapi niat setiap orang itu berbeza.

“Kerana bagi saya, lebih rela menahan kesakitan selepas mencuba daripada menyerah tanpa mencuba. Sekurang-kurangnya, Allah melihat usaha saya,” katanya di dalam ruangan kapsyen hantaran gambar silikon tersebut.

Dalam perkongsian sama, Nur Nilam turut berkongsikan hasratnya untuk membuang tatu yang pernah dicacah di tubuhnya suatu ketika dahulu dalam ‘fasa bertaubat’ seterusnya.

Usahawan terbabit berharap di atas usahanya itu, Allah akan menerima taubatnya selain berjanji akan menjaga hidayah kurniaan Tuhan sehingga menutup mata dan meminta orang ramai turut mendoakannya.

“Fasa pertama sudah berjaya. Bengkak di muka macam ikan kembung. Nanti (selepas sembuh) saya akan bersiaran langsung seperti biasa. Selepas ini, saya akan buang tatu dan hapuskan dosa-dosa dahulu.” Ujarnya.

Baca juga: 5 selebriti dengan majlis perkahwinan termahal di Malaysia, nombor 4 tu kalah TokTi