Nyawa orang awam terancam, Rusia digesa hentikan pencerobohan ke atas Ukraine

Oleh KIM SYAZIE

Dunia digemparkan dengan pencerobohan tentera Rusia ke negara jirannya, Ukraine baru-baru ini sehingga mengundang kebimbangan masyarakat dunia terhadap permusuhan yang berlaku.

AMANAH mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan yang dilancarkan Rusia terhadap Ukraine yang berpotensi menyebabkan implikasi konflik global dengan kemungkinan perang dunia ke-3.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub merayu agar semua pihak menghentikan perang yang sedang berlaku kerana nyawa orang awam yang tidak bersalah akan terus terancam.

Nyawa orang awam terancam, Rusia digesa hentikan pencerobohan ke atas Ukraine

Beliau menegaskan supaya Rusia menghentikan permusuhannya terhadap Ukraine selain memberi amaran agar Amerika Syarikat dan NATO tidak mengeluarkan kenyataan berunsur provokatif yang mendesak Ukraine menyertai NATO

“Selain Rusia dan Ukraine, pihak lain seperti Amerika Syarikat, NATO dan negara jiran lain mesti mencari jalan untuk menyelesaikan pertikaian dan mengelakkan pertumpahan darah dari berterusan berlaku.

“Diplomasi dan kompromi adalah jalan ke hadapan dan penyelesaian yang ideal kepada kesusahan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Salahuddin, konflik dan peperangan yang berterusan akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dunia yang sudah bergelora dengan kesan pendamik Covid-19.

Katanya, harga minyak dan gas, makanan am serta barangan lain sudah meningkat dengan mendadak.

Justeru, rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada semua pihak mesti diberi perhatian

“Kerajaan Malaysia harus membuat representasi yang kuat kepada semua pihak yang berkaitan untuk mematuhi sekatan dan kembali ke meja rundingan.

“Ekonomi seluruh dunia, termasuk Malaysia telah cukup menderita sejak pendemik Covid-19, dan kita tidak mampu menanggung satu lagi bencana global untuk melumpuhkan ekonomi dunia dengan satu lagi krisis kemanusiaan di Eropah,” katanya lagi