Orang ramai mahu ustaz mengaku tidak divaksin disiasat

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai menerusi platform media sosial mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan seorang penceramah bebas selepas membuat pengakuan secara terbuka di Instagram bahawa dia tidak divaksin dan kemudiannya membawa orang tanpa divaksin ke Arab Saudi.

Melalui akaun Instagram, mutawwif itu berterus terang tidak divaksin bahkan menganggap vaksin sebagai sumber pendapatan pihak tertentu.

“Saya mengaku saya tidak vaksin dan bawa orang yang tak vaksin ke Saudi. Vaksin MM. Sebab vaksin ini dah pupus. Ramai juga jemaah tak ambil pun vaksin ni.

“Seperti segala jenis vaksin lain akan pupus dan tamat tempoh. Vaksin juga adalah duit dan mata pencarian untuk mereka bergelar ‘pakar’,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah tidak menerima suntikan vaksin.