Seorang pemuda merasa kurang senang dengan tingkah laku kakak dan abangnya setiap kali mereka pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama.
Mana tidaknya, kakak dan abangnya itu bersikap seperti ‘tetamu’ setiap kali pulang beraya dengan melepaskan tanggungjawab mereka untuk bantu mengemas rumah.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga bagai tidak bertimbang rasa dan meletakkan beban kewangan di atas bahu adik-beradik yang tinggal di rumah ibu bapa sahaja.
Sudah tidak mampu lagi menahan perasaan, berikut perkongsian pemuda bernama Ahmad yang terpaksa menanggung beban setiap kali adik-beradik pulang beraya.
“Assalamualaikum, nama aku Ahmad. Isu ini tiadalah besar sangat. Tetapi lebih pada IHSAN sesama manusia. Cerita yang realiti sewaktu musim perayaan. Aku lelaki yang masih bujang berumur 27 tahun. Ya, aku ‘single’ sejak lahir. Tinggal di rumah ibu dan bapa. Nak dijadikan cerita, arwah abah aku meninggal dalam 4 tahun lepas.
“Jadi selepas tamatkan pengajian empat tahun lepas, aku diberikan tanggungjawab untuk menguruskan rumah keluarga memandangkan adik-beradik lain yang lebih tua semua sudah berkahwin. Ada lima orang, dua lelaki dan tiga perempuan. Tinggallah aku dengan mak dan adik yang masih belajar di dalam rumah itu.
“Setiap tahun macam biasalah, adik-beradik akan pulang rumah untuk beraya. Bab itu aku tak kesah, sebab setiap kali raya memang kena tidur ruang tamu. Berilah abang dan kakak peluang tidur di dalam bilik. Tetapi, boleh tak sesiapa yang pulang ke kampung awal itu kurangkanlah sedikit waktu untuk keluar berjalan?
“Tak tahulah orang lain, tetapi rumah aku kalau kemas sewaktu musim raya itu sudah macam gotong-royong perdana. Sebelum hari rayalah masa mengecat rumah warna baru, basuh karpet dan sofa segala bagai. Halaman rumah yang tak pernah dibersih selama setahun, waktu itulah nak dikerjakan. Penatlah weh!
“Aku ini orang kampung, mestilah duduk di rumah kampung. Halaman rumahnya pula luas ya amat! Satu hari tak cukup nak bersihkan. Sepatutnya ringanlah tangan tolong kemas rumah. Kan adik-beradik. Janganlah asyik main telefon dan terperap di dalam bilik sahaja. Pergi tolong apa yang patut.
“Aku yang lelaki ini sampai pukul dua ke tiga pagi tak tidur sebab nak masukkan besi untuk disangkutkan pada kain langsir. Terlalu banyak perkara nak dikerjakan dengan tenaga yang kurang. Tetapi aku paling benci nak masukkan besi itu. Sebabnya, salah sedikit kena buka semula. Haih.
“Kita adik, peringkat bawah dalam adik-beradik. Mestilah malu nak beritahu. Tetapi sebelum nak pulang berangkat ke rumah mentua itu hulurlah sedikit duit dapur, tong-tong. Barang dapur ini kalau cerita, boleh buat bergaduh. RM100 ke 200 pun sudah lega apabila dihulurkan. Ini tidak langsung.
“Sudahlah dimintanya adik yang ‘peringkat bawah’ ini masak itu dan ini. Selepas itu, suruh pula aku bakar lemang. Aku pula paling tak suka bakar lemang. Sebab bila aku bakar lemang, kulit jadi geseng (gelap). Penat aku jaga kulit walaupon lelaki. Tetapi sehari sebelum raya, kulit jadi gelap semula.
“Raya tahun lepas aku paling terkejut. Waktu itu selepas bakar lemang, aku sempat pergi gunting rambut. Biasalah, nak gunting rambut kena tengok cermin besar. Masa aku duduk dekat kerusi nak potong rambut, alangkah terkejutnya diri ini. Bayangkan, kulit tukang gunting rambut warga Bangladesh itu lebih cerah daripada aku.
“Aku tak tahu nak sedih sebab kulit gelap atau gembira kerana berjaya bakar lemang demi keluarga tercinta. Sudahlah aku hanya ada waktu beraya untuk mencari calon isteri. Tetapi kalau muka sudah hitam dan tangan pula berbelang, siapalah yang mahu. Jadi hulurlah sedikit duit dapur, mana yang mampu.
“Jika lauk yang kau minta tiada, tahu merajuk pula. Aku tak kisah hitam sedikit, janji hulur. RM50 pun sudah besar nikmatnya. Betul, mak aku ada duit pencen sebabnya arwah Abah kerja kerajaan. Tetapi akulah yang kena tambah untuk cukupkan belanja raya. Tahun lepas, aku termenung tengok akaun bank.
“Baki simpanan aku waktu itu hanya tinggal tiga angka sahaja. Fahamkan situasi aku macam mana? Aku ada adik lelaki, tetapi anak bongsu. Memanglah kerjanya pandai melarikan diri. Itu sahajalah yang aku mahu mengingatkan kepada abang dan kakak. Jangan asyik keluar, tolong semampunya dan hulur duit RM50.” Tulis Ahmad Periang (bukan nama sebenar).
Baca juga: “Baru 2 bulan kahwin aku dah rasa menyesal, suami sibuk dengan telefon, kutuk mak ayah aku…”