Pandangan bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob terhadap calon Ketua Menteri, Adly Zahari, merupakan satu pengiktirafan kepada Pakatan Harapan yang sebelum ini mentadbir Melaka selama 22 bulan.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, beliau amat terharu dengan kenyataan bekas gabenor Melaka itu yang meminati kepimpinan Adly Zahari dan memuji Adly sebagai berintelek serta praktikal.
Menurutnya, pandangan Mohd Khalil itu sekali gus menepis tohmahan pihak tentu terhadap Pakatan Harapan dan parti AMANAH sendiri.
“Pandangan Tun ini adalah suatu penilaian yang jujur. Satu pengiktirafan terhadap Pakatan Harapan yang mentadbir Negeri Melaka sepanjang 22 bulan sebaik PH memenangi Pilihan Raya Umum 2018.
“Jelas dalam tempoh yang singkat itu, kita berjaya berperanan mengembalikan kemuliaan institusi kerajaan yang tercemar akibat salah guna kuasa dan rasuah.
“Insyaa Allah, jika Sabtu ini rakyat berikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk tempoh lima tahun, lebih banyak manfaat akan kita jalankan
“Semoga pencerahan Tun Khalil ini, menusuk di hati rakyat Melaka untuk mereka mengundi calon Harapan pada 20 November ini, bagi mengembalikan Adly Zahari menjadi Ketua Menteri, InsyaAllah.,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu dalam satu klip video, Mohd Khalil menganggap Adly sebagai seorang pemimpin yang berintelek.
Beliau turut mengakui meminati sifat kepimpinan Adly namun tidak campur tangan dalam politik yang berada di belakang Adly.
Bahkan katanya, beliau tidak melihat Adly sebagai boneka kepada DAP kerana calon Ketua Menteri itu merupakan individu yang praktikal.
“Dia sorang pragmatik, dan praktikal dalam apa-apa yang dia lakukan.
“Secara diam-diam saya meminati dia tapi saya tak boleh campur tangan politik di belakang Adly. Dan kali ini dia memimpin satu parti atau organisasi yang saya rasa boleh membantu dia,” katanya.