Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar menjelaskan bahawa bukanlah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia bagi mana-mana individu yang mempunyai akaun luar pesisir.
Bagaimanapun katanya, tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah mana-mana individu atau syarikat yang sedang memiliki saham di luar negara.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya apa tindakan atau siasatan kerajaan susulan pendedahan Pandora Papers yang mendakwa beberapa warga Malaysia ‘menyembunyikan’ wang, pelaburan serta hartanah di luar negara.
“Pandora Papers sebenarnya merupakan satu lagi pendedahan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) sebagaimana pendedahan yang pernah dibuat sebelum ini iaitu Offshore Leaks (2013), Panama Papers (2016) dan Paradise Papers (2017).
“Dalam pendedahan Pandora Papers, ICIJ hanya menyenaraikan siapa yang pernah atau yang sedang memiliki saham atau menjadi pengarah dalam syarikat di luar negara ataupun offshore.
“Secara dasarnya, penggunaan akaun luar pesisir bukan satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam jawapan balas bertarikh 3 November.
Wan Junaidi berkata, struktur kewangan Malaysia dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758], Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759] dan Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 [Akta 731].
Justeru, aktiviti penguatkuasaan dan pematuhan transaksi wang ke luar negara adalah tertakluk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021 (AMLA) [Akta 613] dan akta berkaitan yang merangkumi langkah pencegahan terhadap kegiatan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, pemindahan dana melalui saluran tidak rasmi dan pengisytiharan mata wang di pintu masuk keluar negara.
AMLA dikuatkuasakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pihak berkuasa berwibawa (competent authority) di bawah AMLA sentiasa bersedia memberi bantuan dan sokongan kepada agensi-agensi tersebut.
Manakala aktiviti kewangan luar pesisir Malaysia dikawal selia oleh Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) melalui penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 [Akta 704] dan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan 2010 [Akta 705].