Memandu tanpa lesen ialah satu kesalahan dan memilih untuk pandu kenderaan dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh juga adalah kesalahan.
Disebabkan itu, Mahkamah Majistret Alor Gajah memutuskan untuk mendenda penyanyi Nabila Razali dan ibunya lapor Kosmo! Online.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah ibu Nabila, Shamsidah Abdul Rahman.
Shamsidah selaku Orang Kena Saman (OKS) yang juga mewakili anaknya, mengaku bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan dua pertuduhan, Nabila sebagai pemilik sebuah kereta didapati membenarkan ibunya, Shamsidah menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh dan tanpa polisi insurans.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dalam daerah Alor Gajah pada 9 Januari 2024.
Manakala Shamsidah berdepan dua pertuduhan iaitu memandu menggunakan kenderaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga.
Kejadian ini berlaku di masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 90(1) APJ 1987.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM120 atau penjara sehari jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan, keseluruhan denda RM480. OKS membayar denda berkenaan.
Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan, Fadzil Abu, manakala Nabila dan ibunya tidak diwakili peguam bela.