Naib Presiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menggesa agar semua Ahli Parlimen memastikan tidak belaku ketirisan dalam setiap sen yang dibelanjakan untuk kepentingan pertahanan negara.
Beliau berkata, itu antara gesaan yang diutarakan kepada Menteri Kanan Pertahanan dalam sidang Dewan Rakyat semalam agar tidak berlaku rasuah dan pembaziran dalam bajet yang diperuntukan dalam Belanjawan 2022.
“Saya mengajak kita semua, pembuat-pembuat dasar untuk memastikan kita benar-benar serius dan ikhlas dalam menjamin setiap sen yang diluluskan di Dewan yang mulia ini dibelanjakan untuk kepentingan pertahanan negara tanpaa ada rasuah, ketirisan, pecah amanah dan pembaziran.
“Kita mahukan keselamatan anggota tentera yang mempertaruhkan nyawa untuk negara, diambil serius,” kata Ahli Parlimen Hulu Langat itu di Facebooknya.
Kerajaan memperuntukkan RM16 bilion kepada Kementerian Pertahanan dengan sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2022 29 Oktober lalu.