Pegawai ASP didakwa terima rasuah dalam bentuk deposit Kawasaki Versys, ubah suai rumah percuma

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pegawai kanan polis yang berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM13,500.

Difahamkan, pegawai berusia 40 tahun terbabit disyaki menerima suapan di dalam bentuk kerja ubah suai rumah secara percuma dan pembayaran wang pendahuluan atau deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi.

Bagaimanapun tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Machang itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh iaitu ASP Mohd. Firdaus Mohamad didakwa menerima perkhidmatan ubah suai rumah berjumlah RM9,000 secara percuma tanpa sebarang balasan.

Perkhidmatan itu diterima daripada seorang kontraktor berusia 38 tahun di mana kesalahan didakwa dilakukan pegawai terbabit di Kampung Pak Elong Telong, Bachok pada bulan Januari sehingga Jun 2018, lapor Kosmo.

ASP Mohd. Firdaus juga didakwa menerima wang tunai sebanyak RM4,500 dari individu sama sebagai bayaran pendahuluan untuk pembelian motosikal Kawasaki Versys pada bulan Januari 2018 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh pula diwakili peguam iaitu Azura Ghazali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh pada 23 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pegawai berpangkat ASP itu disyaki menerima suapan dalam bentuk wang pendahuluan motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys

Baca juga: Tiga jam kena sidai masa ‘shooting’, Fauzi Nawawi kecewa dengan adab pelakon baru