Tiga jam kena sidai masa ‘shooting’, Fauzi Nawawi kecewa dengan adab pelakon baru

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat ada sahaja isu mengenai pelakon baru yang dilihat tidak menepati masa ketika melakukan pekerjaan.

Kebanyakan pelakon baru juga dibayar lebih mahal hanya kerana mempunyai ramai peminat sedangkan lakonan hanya biasa-biasa sahaja.

Sudah berpuluh tahun berada dalam industri seni, pelakon Fauzi Nawawi masih berdepan pengalaman tidak menyenangkan di lokasi penggambaran melibatkan pelakon muda.

Bagi Fauzi, tindakan pelakon tersbeut yang lewat selama tiga jam sebagai tidak beradab apatah lagi kebanyakan tenaga produksi sudah menunggu lebih awal lapor Harian Metro.

“Pada hari itu ada babak kami bersama, tapi saya perlu tunggu dia hampir tiga jam. Sudahlah datang dengan muka tak bersalah dan hanya beritahu baru selesai rumah terbuka.

“Saya kalau datang lambat setengah jam atau 20 minit pun, saya akan pergi minta maaf kepada seluruh pasukan produksi.

“Bagi saya itu adab yang perlu dijaga apabila membuatkan orang lain menunggu,” katanya dalam temu bual bersama program HTV.

Jelasnya lagi, pelakon muda menjadikan media sosial sebagai sumber pendaptan utama, ini menyebabkan mereka mengabaikan komitmen terhadap kerjaya seni.

“Syarikat produksi di Malaysia ini tidak banyak, membuatkan peluang pekerjaan agak terhad. Jadi apabila dapat sesuatu kerja itu, kita perlu jaga betul-betul.

“Tapi sekarang ini mereka rasa terlalu banyak sangat tawaran boleh dapat. Kalau bukan melalui lakonan, mereka boleh jana pendapatan di media sosial.

“Jadi mereka tak kisah sangat hingga hilang hormat kerana bagi mereka dengan bayaran yang diterima sebagai pelakon, mereka lebih jana keuntungan di media sosial,” katanya.

Baca juga: Ini fakta rumah mewah Aliff Syukri yang ramai tak tahu, memang patut digelar rumah agam