Pengamal undang-undang yang cukup terkenal dengan gelaran ‘peguam kotak pensil’ iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar kini sedang dirawat di sebuah hospital akibat mengalami serangan jantung.
Perkara itu disahkan sendiri oleh isterinya, Datin Raja Adzfa Wati Raja Adzman ketika sedang melakukan siaran langsung di akaun media sosial TikTok milik peguam terbabit sebentar tadi.
Menurut Raja Adzfa, suaminya kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum turut menunjukkan keadaan peguam itu yang sedang terlantar lemah di atas katil hospital dalam siaran langsung tersebut.
Terdahulu, Raja Adzfa memuat naik gambar suaminya di akaun TikTok miliknya semalam dan meminta agar orang ramai mengirimkan doa supaya peguam itu dikurniakan kesembuhan seperti sedia kala.
“Kepada sahabat maya saya sekalian. Tolong doakan agar suami saya (Tok Mat) sembuh seperti sedia kala. Terkena serangan jantung.
“Anugerahkanlah kesembuhan kepada suamiku, Ya Allah. Agar dia boleh terus berbakti kepada orang yang memerlukannya,” katanya dalam perkongsian menerusi akaun TikTok Kak Engku Effa itu.

Terdahulu, Ahmad Zaharil mula meraih populariti secara meluas di media sosial selepas penularan kisahnya yang membantu membela seorang wanita India di mahkamah di atas kesalahan mencuri kotak pensil.
Khidmat itu ditawarkan secara percuma atau ‘pro bono’ yang mana Ahmad Zaharil mewakili tertuduh dan berjaya mendapatkan hukuman ringan berkelakuan baik selama beberapa tahun.
Difahamkan, kesalahan dibuat berikutan wanita itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelikan kotak pensil berharga RM18 sebagai hadiah kepada anaknya kerana mendapat tempat pertama di sekolah.
Kejadian itu berlaku pada tahun 1998 yang mana Ahmad Zaharil mengambil tindakan sedemikian kerana khuatir dengan masa depan anak kepada wanita terbabit selain turut menghulurkan bantuan kewangan.
Namun siapa sangka pada 2017, pengamal undang-undang itu didatangi seorang peguam lelaki muda yang mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan ibunya dan memperkenalkan diri sebagai anak wanita India terbabit.
Baca juga: Betul ke kita tak boleh sedekah koleksi tudung milik isteri yang dah meninggal? Ini peringatan UAI