Peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak agar amalan dua darjat dalam kes berprofil tinggi dihentikan.
Ketua Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir berkata, pihak pendakwaan perlu berhenti daripada bersikap “berlepas tangan dan “menutup sebelah mata” berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya buat sementara.
“Adakah pihak pendakwaan tidak lagi berminat untuk menjalankan tugas dan amanah untuk
membela kepentingan awam?
“Atau adakah pihak pendakwaan bersedia untuk mengenepikan prinsip asasi keadilan bila mana wujud permohonan daripada kes-kes berprofil tinggi seperti ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Najib meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya buat sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang kini di negara itu dan bakal melahirkan anak kedua bulan hadapan.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mendapatkan pasportnya daripada 20 Oktober lalu dan dipulangkan semula pada 22 November ini.
Tiga hakim Mahkamah Tinggi, hari ini membenarkan Najib meminda tarikh itu kepada 25 Oktober lalu sehingga 6 Disember ini.
Najib memohon untuk meminda tarikh berkenaan kerana beliau terpaksa menangguhkan perjalanan ke Singapura bagi membantu jentera parti Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung 20 November depan.
Mengulas lanjut, Mior berkata, ketidakadilan amalan dua darjat yang ditentang keras oleh rakyat perlu dihentikan.
“Apabila rakyat atau pelajar tidak membayar PTPTN selama beberapa bulan yang jumlahnya sekelumit berbanding jutaan, malah berbilion ringgit yang dihadapi boleh pihak ‘kayangan’, pelajar dan rakyat biasa disenaraihitamkan dan dilarang untuk ke luar negara.
“Ini satu bentuk double standard, penghinaan kepada rakyat biasa dan mengenepikan keadilan asasi dan kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat paling mengecewakan adalah antara alasan yang dikemukakan oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah untuk pelepasan pasport beliau bagi tujuan urusan anaknya belajar di New York, Amerika Syarikat.
“Ini adalah satu alasan yang amat lemah dan sudah pasti akan sentiasa dibantah oleh pihak pendakwaan jika ianya adalah permohonan dari orang awam yang menghadapi pertuduhan sedemikian.
“Beliau kini sedang berhadapan dengan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang diterima dari Datuk Seri Najib Razak,” tambahnya lagi.