Sayap pemuda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) memandang serius terhadap isu pemotongan elaun atlet sepenuh masa.
Exco Sukan Pejuang Muda Malaysia, Ahmad Nur Aliff berkata, tindakan pemotongan itu tidak wajar dengan hanya alasan pengekalan elaun berjumlah RM2,000 hanya termaktub kepada atlet peraih pingat emas semata-mata.
Beliau menegaskan kerajaan harus peka bahawa para atlet sepenuh masa tidak mempunyai gaji mahupun insentif lain yang dibayar oleh mana-mana badan lain.
Terdahulu, atlet sepenuh masa lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian mendakwa bahawa elaun atlet telah dipotong daripada jumlah RM2,000 kepada RM800 sebulan.
Sehubungan itu, Pejuang Muda, kata Ahmad Nur Aliff menggesa agar kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara untuk mengembalikan jumlah elaun asal yang telah diperuntukkan kepada para atlet sepenuh masa terbabit.
Menurutnya, kerajaan perlu memperkasakan kebajikan golongan atlet memandangkan mereka adalah aset negara yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.