Pekerja restoran kantoi sorok kod QR majikan, paksa pelanggan bayar tunai siap caj lebih!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengusaha restoran berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas meluahkan kekesalan di atas tindakan pekerjanya menyembunyikan kod respon pantas (QR) untuk tujuan pembayaran.

Difahamkan, pekerjanya didakwa bertindak sedemikian untuk mengelakkan pelanggan membuat pembayaran secara di atas talian terus kepada majikannya sebaliknya meminta dibayar secara tunai sahaja.

Perkara itu dipercayai terbongkar selepas pemilik restoran menerima aduan dari pelanggan memaklumkan pekerja di premis memberitahu mereka kemudahan pembayaran menggunakan kod QR tidak tersedia di premis tersebut.

Kejujuran pekerjanya sekali lagi diragui apabila pelanggan terbabit mengakui diminta untuk membuat pembayaran secara tunai di kaunter sebanyak RM21 buat pesanan yang berharga RM19.

Perkara ini didedahkan oleh pemilik restoran menerusi satu perkongsian di akaun media sosial Threads miliknya bersama bukti berupa tangkap layar perbualan bersama pelanggannya.

“Lawak, tak tahulah sama ada nak gelak ke menangis. Ada pelanggan ini pesan makanan dan nak bayarlah guna kod QR. Tetapi pekerja aku kata kod QR tiada. Pelanggan itu hantarlah pesanan di aplikasi Whatsapp untuk tanya aku.

“Aku jawablah ada sahaja dan hantar kad QR dekat dia. Selepas sudah beritahu harga, dia kata sudah bayar tunai dekat pekerja. Sebab pekerja aku tak bagi QR, suruh bayar tunai sahaja. Ingat kedai dia sendiri ke,” kesal pemilik dalam hantaran itu.

Perkongsian tersebut telah mengundang perbincangan hangat dalam kalangan pengguna Threads yang mana rata-ratanya mensyaki pekerja berkenaan cuba mengaut keuntungan di atas angin.

Beberapa individu juga tampil berkongsikan pengalaman peribadi ketika berhadapan dengan situasi serupa ketika membuat pembayaran melalui kod QR yang mana wang diduga masuk ke dalam akaun bank milik pekerja.

“Saya pernah kantoikan pekerja kedai makan di premis yang selalu saya kunjungi. Pekerja tukar gambar kod QR restoran kepada akaun bank sendiri. Setiap kali pelanggan bayar, duit itu masuk ke dalam akaun dia,” kata seorang pengguna.

“Pemilik restoran sudah bolehlah cari pekerja lain. Suka-suka sahaja main harga, selepas itu duit yang lebih masuk ke dalam poket dia. Geram betul aku. Kerja nak cari rezeki halal tetapi kalau macam ini sudah jadi haram hukumnya.” Kesal pengguna lain.

Baca juga: Proton e.MAS 7 dapat sambutan, secara purata satu unit dibeli rakyat Malaysia setiap jam