Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan, malah ada yang berakhir dengan tragedi meragut nyawa.
Fenomena ini seakan memperlihatkan bagaimana segelintir pelajar sudah tidak gentar lagi untuk menunjukkan kuasa dengan menindas rakan-rakan yang lebih lemah.
Terbaharu, seorang pelajar Tingkatan Tiga, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan berada dalam keadaan kritkal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Memetik Sinar Harian, Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor berkata anak saudaranya dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Disebabkan itu Muhammad Aidil memaklumkan pihak keluarga sudah membuat laporan polis pada jam 5 pagi Selasa di Balai Polis Sabak Bernam.
Pihak keluarga juga dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk membantu siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.
Tidak hanya itu, pihak keluarga mangsa turut mempersoal tindakan pihak sekolah yang lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.
“Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, dalam perutnya langsung tiada sisa makanan,” jelasnya.
Ahmad Irfan kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan.
Baca juga: Gelar anak ‘mini wife’ rupanya salah dari segi undang-undang, ini penjelasan peguam