Pelanggan baru perasan ada katak dalam gelas lepas minum air, warna macam asam boi!

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila mendapati segelas minuman asam boi yang dipesannya di sebuah restoran mengandungi bahan asing dipercayai katak selepas air tersebut diteguk.

Bukan sahaja mengalami situasi yang cukup menjijikkan, pelanggan terbabit turut mendakwa menerima layanan yang kurang baik daripada pihak restoran berikutan tidak meminta maaf berhubung kejadian tersebut.

Kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah kedai makan terletak di Sendayan, Negeri Sembilan itu didedahkan oleh wanita berkenaan menerusi perkongsian beberapa keping gambar dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Pelanggan itu turut memuat naik rakaman berdurasi lima saat yang memaparkan penemuan memualkan tersebut dengan lebih jelas di mana seekor katak dilihat terapung tidak bernyawa di dalam gelas minumannya.

Wanita terbabit turut menceritakan semula bagaimana haiwan berkenaan ditemukan di dalam gelasnya selepas hampir separuh minuman asam boi yang dipercayai sudah tercemar itu ‘lalu’ di tekakknya.

“Ramai sangat yang bertanya, sudah minum ke air itu? Baiklah, saya jelaskan. Selepas sahaja pelayan hantar air tersebut, saya kacau-kacau dan minum macam biasalah. Tetapi apabila sudah minum suku air, saya tengok seperti ada benda pelik.

“Benda itu saya tengok ada belah bawah. Jadi saya kacau dan cubalah bawa benda itu naik ke atas guna penyedut minuman, barulah katak itu muncul. Nak buat macam mana, warna katak itu pun sudah macam asam boi. Sumpah tergamam tak terkata! Menggigil wehhh,” katanya.

@_iiimalina

Mana yang tertanya tu sy dah minum ke belum air tu, YES sy dah minum suku dari air tu😥 #aftstation #merchantsquaresendayan #sendayan #negerisembilan

♬ SAYA TIDAK TAHU – FELIS TIGRIS

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju bahawa wanita berkenaan sepatutnya membuat laporan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan segera supaya siasatan terus dijalankan.

Ramai juga pengguna berbincang pelbagai teori tentang bagaimana katak itu masuk ke dalam gelas selain merasa sedikit trauma melihat perkongsian tersebut sehingga menimbulkan rasa was-was untuk meminum air dipesan di restoran.

Baca juga: Norreen Iman makin ‘low profile’, pilih tak kongsi gambar suami, keluarga di media sosial