Pelanggan jumpa serangga dalam air, kesal pekerja tak minta maaf siap jawab ia ‘normal’

Oleh MALAYSIADATELINE

Alangkah terkejutnya seorang pelanggan apabila melihat terdapat benda asing dipercayai serangga di dalam gelas minuman yang dipesannya di sebuah restoran selepas air tersebut dinikmatinya.

Namun perkara lain yang membuatkan wanita itu merasa sangat kesal adalah layanan didakwa diberikan oleh salah seorang pekerja selepas pelanggan berkenaan mengadu mengenai minuman dipesannya.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads, wanita itu mendakwa pekerja yang bertugas di restoran berkenaan bukan sahaja tidak meminta maaf malah menyifatkan kejadian tersebut sebagai normal sahaja.

Sedangkan insiden itu tidak sepatutnya dipandang ringan memandangkan ia berkait rapat terutama dengan tahap kebersihan restoran lebih-lebih lagi premis tersebut bukanlah kedai ‘tepi jalan’.

“Sudah habis minum, baru nampak. Ini bukan kedai tepi jalan. Tetapi pekerja itu boleh cakap, ‘Normallah kami juga minum air dekat kedai ini’. Tanpa meminta maaf ya, siap menganjing kami lagi.

“Kalau normal ada ulat, maknanya restoran ini memang kotor ke. Pelanggan kamu memang makan ulatlah? Aku bayarlah makanan itu. Serius pekerjanya kurang ajar. Selepas saya mengadu, boleh dia tanya ada sakit perut ke?

“Kamu nak tunggu orang sakit perut kemudian masuk hospital dulu ke? Sekarang ini ada ulat atau serangga di dalam air. Minta maaf dan mengaku salah sahajalah. Ini tidak, jawapan dia sumpah biadab,” kesalnya.

Menerusi ruangan komen, pelanggan terbabit mengakui sudah sedikit ‘sejuk’ apabila pihak pengurusan restoran berkenaan menawarkan supaya minuman dikeluarkan daripada resit ketika membuat bayaran.

Namun sikap pekerja itu yang dikatakan ‘ringan mulut’ menjawab rungutan pelanggan tanpa memohon maaf membuatkannya masih merasa tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.

“Pihak HQ (ibu pejabat) sudah menghubungi saya. Tetapi saya tidak akan padam hantaran ini sebelum mengetahui tindakan apa dikenakan ke atas pekerja terbabit. Kasihan, makanan sedap dekat kafe itu.

“Tetapi servis yang diberikan itu dan cara berkomunikasi dengan pelanggan macam tak belajar. Sumpah memalukan nama kafe.” Kongsi pelanggan tersebut menerusi hantaran di platform Threads.

Baca juga: Hantar mesej ancaman kepada pegawai PETRONAS, polis buru pengirim SMS