Pelanggan tak sangka dapat minum Teh O Ais ‘kayangan’, gigil terpaksa bayar RM11

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pelanggan terkejut apabila dikenakan caj sebanyak RM11 hanya untuk minuman Teh O Ais pesanannya di sebuah restoran yang terletak di ibu kota.

Tiada apa yang istimewa, minuman ‘kayangan’ dipesan pelanggan terbabit tidaklah dihidangkan dalam gelas eksklusif atau ditambahkan bahan dan perisa ‘luar biasa’.

Mungkin sebab itulah pelanggan yang dikenali sebagai Mohd Fadly Samin itu tidak menyangka perlu membayar sebanyak RM11 hanya untuk minum segelas Teh O Ais.

Difahamkan, Fadly mengunjungi restoran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu ketika menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di lokasi sama.

Oleh yang demikian, Fadly singgah dahulu ke restoran itu sebelum meneruskan hasratnya untuk mencari buku dan mengadakan pertemuan dengan pihak penerbit di PBAKL.

Meskipun terkejut dengan caj yang dikenakan, Fadly bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana tidak memeriksa menu dahulu sebelum membuat pesanan.

“Pagi ini minum air Teh O Ais dari kayangan. Silap saya juga sebab tak tengok harga dahulu. Apa pun, hidup perlu diteruskan. Sudahlah, jom kita pergi ke pesta buku.

“Nak mencari buku dan bertemu penerbit serta ‘ghost writer’ untuk buku terbitan saya tahun ini. Doakan ya, semua,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Berdasarkan resit yang turut dikongsikan Fadly di dalam hantaran tersebut, dapat dilihat bahawa harga Teh O Ais ‘kayangan’ itu rupanya lebih mahal daripada mi goreng.

Tular di media sosial, hantaran Fadly ini berjaya menarik perhatian ramai dengan meraih hampir 10,000 tanda suka daripada pengguna platform media sosial Facebook.

Tinjauan di ruangan komen pula mendapati orang ramai tampil memberi amaran kepada pengunjung untuk lebih berwaspada sebelum memesan makanan atau minuman di PWTC.

Ramai juga pengguna tidak menyangka restoran tersebut tergamak meletakkan caj yang mahal sedangkan kos penyediaan minuman Teh O Ais tidaklah terlalu tinggi.

“Tergamak jual Teh O Ais sampai RM11. Tak beragak langsung meniaga pun. Modal berapa sen sahaja. Betul-betul nak pergi haji balik hari,” kongsi seorang pengguna.

“Gila dia tekan dekat harga air. Sudah macam standard hotel,” kata pengguna lain yang turut terkejut dengan caj dikenakan oleh restoran tersebut.

Baca juga: Wanita serik terperangkap 14 jam di Cameron Highlands, tertipu orang kata cuti sekolah lengang…