Seorang pelanggan berjaya mencuri perhatian baru-baru ini selepas meluahkan kekesalan apabila mendapati roti sosej yang dibeli daripada sebuah gerai sudah ditumbuhi dengan kulat.
Lebih mengeruhkan keadaan, roti sosej tersebut sempat dijamah oleh pelanggan sebelum menyedari terdapatnya kulat memandangkan ia hanya tumbuh dengan ‘subur’ di bahagian dalam.
Penemuan tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran video dimuat naik di platform TikTok oleh seorang wanita dikenali sebagai Syaza selepas roti berkulat berkenaan dijamah oleh suaminya.
Menerusi rakaman yang berdurasi 40 saat itu, pelanggan memaklumkan bahawa mereka tidak menyangka kulat di dalam roti tersebut sudah merebak sehingga tumbuh mengelilingi sosej.
Namun menurut wanita itu, tiada rasa pelik yang timbul sehingga membuatkan suaminya langsung tidak perasan akan kehadiran kulat dalam roti sosej tersebut sewaktu menjamah malah sempat menelannya.
“Aku sangkakan roti sahaja berkulat. Sekali buka bahagian dalam, ambil kau. Suami aku sudah gigit dan telan, baru perasan. Logik ke kalau buat hari ini, kemudian tumbuh kulat di hari yang sama?
“Aku tak boleh nak terima. Selamat roti ini ke dalam tong sampah,” kongsi wanita terbabit meluahkan kekesalannya dalam perkongsian video yang sudah meraih sebanyak 264,900 tontonan di platform TikTok itu.
Sempat merasa khuatir dengan keadaan kesihatan suami, wanita itu bagaimanapun lega apabila lelaki terbabit baik-baik sahaja sehingga ke hari ini mungkin kerana sempat memuntahkan cebisan roti berkulat tersebut.
Wanita itu dalam perkongsian sama sempat memberikan nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum menjamah makanan dan berharap penjual bersikap jujur dalam menjalankan perniagaan.
“Tolong lebih peka! Sebelum makan, periksa dahulu kalau tak nak jadi macam kami. Minta doakan semoga tak kena keracunan makanan ya. Kemudian kepada para peniaga, berniagalah dengan jujur.” Ujarnya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna mencadangkan agar wanita terbabit melaporkan gerai makanan berkenaan kepada pihak berkuasa supaya pelanggan lain tidak mengalami nasib sama.
Ramai juga pengguna berpendapat bahawa roti sosej itu mungkin disimpan lebih dari satu hari sebelum dijual memandangkan keadaan kulat kelihatan sangat tebal selain berkongsi pengalaman peribadi ketika mengalami kejadian sama.

Baca juga: Beli kereta baru sebab ingat boleh dapat RM700 sehari buat Grab, sekali sendiri terciduk…