Pelawak veteran hilang tiga jari kaki, tak patah semangat tetap ambil ‘job’ berlakon

Oleh MAISARAH AISYA

Nama Sathiya bukan asing dalam dunia seni tanah air, khususnya dalam bidang komedi selepas mencetus fenomena apabila membawakan watak Ravi dalam siri sitkom popular era 1990-an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Dengan loghat Tamil yang pekat, gaya bersahaja serta dialog spontan, watak itu menjadi hiburan utama rakyat Malaysia setiap kali ditayangkan.

Sudah berusia 61 tahun, tahap kesihatan Sathiya bukanlah seperti zaman kegemilangan terbaru tiga jari kakinya terpaksa dipotong dan dirawat di Hospital Ampang lapor Harian Metro.

“Saya sudah seminggu keluar dari hospital dan keadaan kesihatan juga baik kerana hanya tiga jari kaki sahaja yang dipotong.

“Selera makan juga baik dan saya juga sudah makan banyak seperti biasa,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Meskipun terpaksa menjalani pemeriksaan semula, ini tidak mematahkan semangat Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy untuk terus berlakon meskipun hanya duduk di atas kerusi roda sahaja.

“Saya akan ke hospital semula minggu depan kerana doktor mahu periksa sama ada dua dari tiga jari kaki yang dipotong itu ada jangkitan atau tidak.

“Saya juga boleh berjalan tetapi secara perlahan dan masih lagi boleh berlakon walaupun terpaksa duduk di kerusi roda.

“Pada masa sama, saya juga sudah selesai penggambaran dua drama termasuk bahasa Tamil sebelum dirawat di hospital sebelum ini,” jelasnya.

Baca juga: Haneesya Hanee dedah perkara sebenar sebalik video kelab malam, tanpa tapisan atau berselindung