Pemilihan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri jika Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya ini tidak akan memberikan mesej yang baik kepada pengundi Melaka, kata penganalisis.
Ini kerana, punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka sebelum ini adalah kerana perebutan kuasa dan pembahagian kuasa yang tidak jelas antara ketua menteri yang mengetuai kerajaan dengan pengerusi perhubungan Umno negeri yang menguasai parti.

Oleh itu, bagi Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar tindakan menamakan Sulaiman berupa satu langkah berundur ke belakang.
“Bagi saya penamaan Sulaiman oleh BN satu langkah berundur ke belakang apabila jentera pada mulanya seakan menamakan Datuk Seri Mohd Rauf Yusoh sebagai calon BN.
“Namun apabila mereka memuktamadkan Datuk Seri Sulaiman sebagai calom CM, maka timbul isu yang dikatakan punca kepada Umno Melaka berpecah terutamanya melihat fungsi Datuk Seri Mohd Rauf yang seakan-akan mengganggu pentadbiran yang dilakukan oleh Datuk Seri Sulaiman sebelum ini,” kata Hisom kepada Malaysia Dateline.
Bagi beliau, apabila BN masih menamakan Sulaiman, ini menunjukkan bahawa kerajaan BN nanti masih lagi akan berdepan dengan isu tekanan kepada ketua menteri sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
“Ini memberikan gambaran kepada pengundi bahawa kerajaan negeri mereka tidak akan bebas dari gangguan dan campurtangan Mohd Rauf yang sebelum ini banyak mempengaruhi dan seakan-akan ketua menteri ini boneka beliau.
“Jadi imej ini perlu dibersihkan segera,” kata Hisom mengimbau kembali apa yang berlaku sebelum ini sebagaimana yang diungkitkan oleh Datuk Seri Idris Harun sehingga beliau mengambil tindakan tidak lagi menyokong kerajaan negeri dan menyebabkan kerajaan Melaka di bawah Sulaiman Md Ali jatuh.
Idris bersama tiga lagi Exco kerajaan negeri Melaka telah menarik sokongan mereka dari kerajaan negeri menyebabkan kerajaan negeri jatuh dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Antara puncanya, Idris mendakwa, ketua menteri yang ada hanya boneka kepada kepimpinan Umno Melaka yang berada di luar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco dengan istilah ‘dua singa di atas bukit’.
Ia telah menyebabkan Ab Rauf Yusoh menolak dakwaan bahawa beliau adalah “dalang” di belakang Ketua Menteri sebelum ini, Sulaiman Md Ali, selain menegaskan tohmahan itu hanya bertujuan mengalih perhatian daripada krisis politik di negeri itu baru-baru ini.
Dalam temu bual dengan FMT, beliau juga menafikan tuduhan kononnya wujud perumpamaan “dua singa di atas bukit” dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu seperti didakwa bekas Ketua Menteri Idris Haron.
Namun begitu, para penganalisis juga mempertikaikan apakah benar Sulaiman yang dipilih sebagai bakal ketua menteri Melaka jika BN menang dalam pilihan raya negeri ini.
Ini kerana, pengumuman mengenai siapa calon ketua menteri tidak dibuat secara rasmi dan ia hanya dijawab oleh Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak ketika ditanya oleh wartawan sahaja.
Najib menegaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika BN menang PRN kali ini.
Beliau berkata, tidak timbul pencalonan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di kerusi DUN Tanjung Bidara, memungkinkan nama lain bakal dikemuka bagi jawatan itu.
“Tak, tak, tak… kita (BN) tentukan Sulaiman saja (sebagai ketua menteri),” katanya ditanya media ketika beliau mengiringi Ab Rauf ke pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara pada hari penamaan calon Ahad lepas.