Pemilik premis perubatan ingin perkenal pakej Klinik Rahmah, golongan B40 bakal punyai kuasa untuk memilih

Oleh KIM SYAZIE

Pengenalan insentif makanan mampu milik, Menu Rahmah telah menarik minat sektor lain untuk menawarkan servis yang sama.

Antara sektor lain yang berminat untuk melaksanakannya adalah sektor penjagaan kesihatan dan perubatan.

Pemain industri tersebut mula menyuarakan niat mereka untuk menawarkan perkhidmatan dan produk dengan harga yang murah.

Insentif ini bakal dinikmati oleh mereka yang berpendapatan rendah khususnya golongan B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata hasrat itu telah disampaikan oleh pemilik klinik.

Katanya, doktor perubatan yang mempunyai perusahaan mereka sendiri ingin menawarkan pakej keluarga pada harga berpatutan.

Pakej tersebut ingin diperkenalkan oleh pemilik perusahaan khusus buat mereka yang tidak berkemampuan melalui ‘Klinik Rahmah’.

“Untuk melaksanakannya, kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika hadir sebagai tetamu program Jendela Fikir Bernama Radio, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk membuka Farmasi Rahmah.

Hal ini kerana rakyat boleh mendapatkan ubatan serta rawatan dengan hanya berbekalkan RM1 di klinik dan hospital kerajaan.

Namun begitu, sekiranya pakej Klinik Rahmah ini dilaksanakan, golongan B40 bakal mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan yang terbaik menurut mereka pada harga yang terjangkau.

Baca juga: Wanita terkejut dua kopi Starbucks dicaj lebih RM19,000