Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, Naveen K Rasiah dan Nico Kam dikhuatiri mempunyai motif dendam.
Menurut Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu, kes-kes lain melibatkan pemimpin-pemimpin besar tidak dipedulikan.
“Malah, saya melihat ada juga pemimpin lain yang mempamerkan kekayaan melampau tapi tidak pula disiasat atau diambil tindakan.
“Saya ingin menggesa SPRM untuk memberi fokus kepada kes-kes besar yang masih belum ada penyelesaian setakat ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, Naveen merupakan anak saudara kepada Ahli Parlimen PKR Sungai Buloh, R Sivarasa.
Terdahulu, Naveen, 50 dan Nico Kam Joo Hoe, 24, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2099.
Kedua-dua mereka dilapor mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah yang didakwa berlaku antara 17 hingga 21 September 2017 di dua restoran di Taman Maluri, Cheras.
Dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta RM55,000 daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman kerana tidak melaporkan firmanya membawa masuk pekerja asing secara haram ke Jabatan Imigresen.
Dalam pertuduhan kedua, mereka didakwa bersetuju menerima RM45,000 kerana tidak melaporkan firma itu – Syarikat Dyna Maintenance Services Sdn Bhd.
Dalam pertuduhan ketiga, mereka didakwa menerima RM20,000 kerana tidak melaporkan perkara itu.
Kedua-duanya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada jumlah suapan yang didakwa diterima. Mereka berdua dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000.